Serah data radar tentera kepada pakar bebas, gesa waris MH370 


Ravin Palanisamy

Kehilangan MH370 mencetuskan usaha pencarian terbesar dalam sejarah penerbangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2021.

KERAJAAN Malaysia perlu beri kerjasama menyerahkan data lengkap bacaan radar tentera berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 untuk membantu siasatan, kata Voice370. 

Ini merupakan antara permintaan yang disuarakan oleh Voice370 - kumpulan penyokong waris penumpang pesawat MH370. 

Dengan menggunakan data radar tentera, kumpulan itu mahu badan penyiasatan bebas memulakan siasatan untuk mendapatkan bukti atau petunjuk baharu menjejaki pesawat berkenaan. 

“Kerajaan Malaysia perlu mengeluarkan segala rakaman data radar tenteranya bermula 7 hingga 8 Mac 2014 berkaitan penerbangan dan laluan MH370 sebelum hilang secara misteri daripada radar dan sebelum diputuskan berakhir di Selatan Lautan Hindi kepada pakar siasatan bebas untuk mereka menyiasat dan menganalisa segala data dan perolehan pada hari sebelum dan sehingga pesawat malang itu hilang bersama penumpangnya.

“Ia perlu bagi menjawab segala persoalan masyarakat antarabangsa mengenai dapatan maklumat dan penterjemahannya oleh pihak berkuasa,” kata kumpulan berkenaan dalam persidangan maya Zoom sempena ulang tahun ketujuh memperingati kehilangan MH370 hari ini.

Esok genap tujuh tahun sejak kehilangan MH370, yang mencetuskan usaha pencarian terbesar dalam sejarah penerbangan dunia.

Pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 239 penumpang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dilaporkan hilang dari radar sejurus selepas berlepas dari lapangan terbang  pada 8 Mac, 2014.

Peguam Grace Subathirai Nathan, yang ibunya Anne Daisy merupakan salah seorng penumpang pesawat berkenaan, merupakan salah seorang panel program berkenaan. 

Beliau berkata kerajaan terus menolak permintaan mereka dan mengatakan demi kepentingan keselamatan negara, mereka mungkin tidak boleh mendedahkan data bacaan radar tentera itu.

Menurutnya, kerajaan tidak boleh menggunakan alasan yang sama selama tujuh tahun, dan mendakwa kes berkenaan masih belum ditutup.

“Selepas tujuh tahun mereka tidak boleh menjadikan keselamatan negara sebagai alasan untuk tidak mendedahkan rekod radar tentera.

“Penyelesaiannya adalah rekod radar tentera didedahkan kepada pakar dalam bidang itu yang boleh memahami dan mengkajinya secara tertutup agar ia tidak didedahkan kepada pihak lain,” katanya.

Bapa Grace, V.P.R Nathan yang merupakan timbalan pengarah bahagian pengurusan trafik udara Jabatan Penerbangan Awam (DCA) ketika itu berkata kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini mahu membenarkan beliau melihat data itu.

Beliau bagaimanapun berkata ia bagaimanapun tidak menjadi kenyataan kerana perubahan kerajaan dan disusuli pandemik Covied-19. 

“Sebenarnya maklumat mengenai data radar tentera adalah sensitif. 

“Bagaimanapun pihak tentera sebenarnya bersetuju untuk membenarkan saya sebagai profesional dalam bidang penerbangan untuk melihat data berkenaan namun jabatan perundangan Mindef mahu saya menandatangani perjanjian sebelum membenarkan saya melihat data berkenaan.

“Namun ini semua berubah ketika berlaku perubahan kerajaan. Menteri sebelum ini yang membenarkan saya melihatnya.

“Tetapi Peguam Negara letak jawatan pada masa yang sama dan Mindef tiada salinan surat perjanjian itu. Jadi, mereka perlukan Jabatan Peguam Negara menyediakannya dan dapatkan tandatangan saya.

“Ketika itu, selepas perubahan kerajaan muncul pandemik Covid-19 dan semuanya berubah,” katanya. – 7 Mac, 2021.

Berita penuh di sini.  



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen