AHLI Parlimen Sekijang Natrah Ismail membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan beliau ditawarkan habuan untuk beralih sokongan daripada PKR kepada Perikatan Nasional yang diterajui Muhyiddin Yassin.
Laporan itu dibuat selepas SPRM menggesa beliau membuat laporan berhubung sebarang cubaan untuk merasuah ahli Parlimen untuk tukar parti.
“Hari ini saya telah membuat satu laporan kepada pihak SPRM berkenaan satu kejadian percubaan mendapatkan sokongan saya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan janji manfaat yang boleh saya perolehi dengan pemberian sokongan tersebut.
“Kejadian itu telah berlaku pada 3hb Mac yang lalu, dan melibatkan dua individu termasuk seorang yang bergelar ‘Datuk Seri’. Saya membuat laporan ini berdasarkan Seksyen 25 Akta SPRM 2009, berkenaan kewajipan melaporkan tawaran suapan,” katanya.
Natrah berkata beliau tidak berminat untuk menyokong perdana menteri dan menambah beliau tidak akan mengkhianati PKR dan pimpinan parti serta pengundi di Sekijang.
“Kepada mereka yang masih berusaha untuk mengubah sokongan ahli-ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat atau pembangkang amnya, berhenti lah. Kepada kerajaan minoriti hari ini, saya cuma ada satu kata: ‘Lawan!’,” katanya.
Khamis lalu Natrah mendakwa didatangi dua individu yang meminta beliau menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Dua individu berkenaan juga menyenaraikan manfaat yang akan diperolehi jika menyokong Muhyiddin, tambah ahli Parlimen PKR itu.
“Saya dengan terang dan jelas menjawab bahawa saya tidak berminat untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menolak tawaran mereka.
“Bagi saya, tiada erti mendapat manfaat apa sekalipun jika saya berpaling tadah dari perjuangan Reformasi dan melanggar sumpah yang telah saya lafaz apabila menjadi seorang ahli Parlimen,” kata Natrah dalam satu kenyataan.
Natrah berkata beliau telah melaporkan perkara itu kepada pimpinan PKR.
Pada 28 Februari lalu, Ahli Parlimen Julau Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Chong menyatakan sokongan mereka kepada Perikatan Nasional sebagaii ahli Parlimen bebas.
Sng berkata ketiadaan dana pembangunan yang amat diperlukan di kawasannya menjadi sebab utama beliau keluar parti.– 7 Mac, 2021.
Komen