Ahli Parlimen Sekijang dakwa dipelawa sokong Perikatan


Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail mendakwa beliau dikunjungi dua individu semalam, memintanya keluar dari PKR dan mengalih sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2021.

AHLI Parlimen Sekijang Natrah Ismail mendakwa beliau dipelawa menyertai Perikatan Nasional (PN) dan mengalih sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Natrah berkata beliau dikunjungi dua individu semalam, dan menyatakan hasrat untuk membantunya meneruskan usaha sebagai ahli Parlimen.

Dua individu bergelar “Datuk Seri” itu juga menyenaraikan manfaat yang akan diperolehi jika menyokong Muhyiddin, tambah ahli Parlimen PKR itu.

“Saya dengan terang dan jelas menjawab bahawa saya tidak berminat untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menolak tawaran mereka. 

“Bagi saya, tiada erti mendapat manfaat apa sekalipun jika saya berpaling tadah dari perjuangan Reformasi dan melanggar sumpah yang telah saya lafaz apabila menjadi seorang ahli Parlimen,” kata Natrah dalam satu kenyataan.

Beliau juga berkata perkara tersebut sudah dilaporkan kepada pucuk pimpinan PKR.

Menurut Natrah lagi, beliau percaya usaha menawar habuan dan jawatan, atau mendesak serta mengugut ahli-ahli Parlimen pembangkang untuk mengalih sokongan kepada PN masih berjalan.

“Jelas kerajaan minoriti hari ini bersedia melakukan apa sahaja, kecuali menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen segera.”

Ahad lalu, dua ahli Parlimen PKR iaitu Larry Sng (Julau) dan Steven Chong (Tebrau) umum keluar parti dan menyokong PN.

Sng kekurangan dana pembangunan pembangunan menyukarkan usahanya untuk berkhidmat kepada pengundi di Julau.

“Saya tidak dapat berkhidmat kepada rakyat di Julau dengan berkesan kerana ketiadaan dana pembangunan yang amat diperlukan. Menerusi keputusan hari ini, saya yakin dapat menunaikan janji pilihan raya saya kepada pengundi,” kata Sng menerusi kenyataan di Facebook. – 4 Mac, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen