Hubungan Umno-Perikatan belum muktamad walau sudah 'putus', kata penganalisis


Chan Kok Leong

Penganalisis politik yakin Bersatu akan terus berusaha 'memaksa' Umno kembali kepada PN sebelum PRU15 diadakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2021.

SITUASI Umno-Perikatan Nasional (PN) masih boleh berubah walaupun pengumuman rasmi mengenai “perpisahan” kedua-duanya sudah dibuat, kata penganalisis.

“Pengumuman Umno tidak mengejutkan kerana parti itu berkata tidak merancang bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15 walaupun terus bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN),” kata Prof Universiti Awang Dr Awang Azman Awang Pawi.

Dan dengan sambutan Bersatu yang seakan tidak acuh selepas mesyuarat pada Khamis, Awang Azman percaya parti itu akan terus “memaksa” Umno kembali kepada PN sebelum pilihan raya diadakan.

“Satu-satunya perkara yang dibimbangkan Bersatu dan PAS ialah Umno berusaha memaksa pilihan raya diadakan tahun ini. Apatah lagi apabila Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata parti itu merancang untuk bertanding di 96 daripada 165 kerusi di Semenanjung Malaysia.

“Tetapi saya percaya Bersatu akan berusaha memastikan Umno beralah dan bekerjasama dengan PN pada PRU15,” kata pensyarah sains politik itu.

Awang Azman mengulas keputusan Bersatu memperkukuhkan parti dalam PN – PAS, STAR, SAPP dan Gerakan – selepas Umno secara rasmi menolak kerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya akan datang.

Pengarah Eksekutif Pusat Ilham Hisomuddin Bakar berkata Bersatu bertindak “play safe” kerana masih mahu membawa Umno kembali ke pangkuannya.

“Keputusan Bersatu pada Khamis tidak tegas (mengenai perpecahan) kerana keputusan Umno mempunyai implikasi besar terhadap PN.”

Hisomuddin berkata keputusan Umno untuk menamatkan kerjasama pada PRU15, tetapi tetap berada dalam kerajaan, mungkin juga menjadikan parti itu kelihatan tidak tegas.

“Keputusan pelik ini akan menjadikan penyertaan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan PN tidak bermakna.

“Apa yang lebih buruk, ia dapat memberi kekuatan kepada puak pro-Bersatu untuk memulakan gerakan menjatuhkan Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi,” kata pengundi tersebut.

Bagaimanapun Hisomuddin berkata Zahid perlu memberitahu Bersatu mengenai perpisahan bakal berlaku kerana terdapat tekanan daripada akar umbi.

“Terdapat banyak tekanan daripada akar umbi Umno selepas bencana Umno dalam Pilihan Raya Negeri Sabah.

“Oleh itu, ketika Umno pada awalnya merancang membiarkan perhimpunan agung memutuskan isu itu, banyak tekanan daripada mesyuarat Umno dan Bersatu, memaksa Zahid menyuarakannya lebih cepat,” kata Hisomuddin.

Keputusan Umno menamatkan kerjasama pada PRU15, tetapi tetap berada dalam kerajaan, mungkin menjadikan parti itu kelihatan tidak tegas, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2021.

PAS mungkin tinggalkan Bersatu

PAS mungkin menyokong Bersatu untuk menghentikan penguasaan Umno buat masa ini tetapi parti itu boleh membuat perjanjian dengan Umno kemudian, kata Dr Wong Chin Huat.

“PAS akan memilih berkecuali sebagai pertukaran sokongan Umno atau kawasan pilihan raya.” kata saintis politik itu.

Dan jika ini berlaku, Bersatu akan hancur, kata Wong.

“Sebarang perjanjian Umno-PAS ditambah dengan kerjasama Umno-Pakatan Harapan (PH) akan menyaksikan Umno menghancurkan Bersatu.

“165 kerusi Malaysia Barat akan dikuasai oleh tiga kumpulan: Pakatan, Umno dan PAS.

“Jika PH memenangi bahagian terbesar tetapi kurang daripada 90 kerusi, kemungkinan besar ia menjadi kerajaan PH-Umno dengan sekutu mereka di Malaysia Timur.

“Sekiranya Umno menang bahagian terbesar, maka Umno mungkin mempunyai pilihan untuk bekerjasama dengan PH atau PAS, juga dengan sekutu Malaysia Timur masing-masing,” kata Wong. – 8 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen