KEPUTUSAN Umno untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu memberi kesan serius antara kedua-dua parti dan gabungan Perikatan Nasional (PN) yang berkuasa, kata Hamzah Zainuddin.
Dalam satu kenyataan ringkas, Setiausaha Agung Bersatu itu berkata parti itu kini akan memberi tumpuan memperkukuhkan kerjasama dengan parti komponennya dalam Perikatan Nasional.
“Bersatu memutuskan untuk terus fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam Parti Perikatan Nasional iaitu PAS, STAR, SAPP dan Gerakan berlandaskan perjuangan yang jujur dan ikhlas kepada rakyat bagi memenangi pilihan raya akan datang,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Katanya, Bersatu berpendapat keputusan Umno tidak mempengaruhi kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Katanya, kerajaan masih utuh dan berfungsi untuk memberi khidmat kepada rakyat.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat dua jam oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dipengerusikan Muhyiddin di Putrajaya petang ini.
Mesyuarat itu diadakan berikutan keputusan Umno untuk tidak bekerjasama dengan Berstau dan PN dalam pilihan raya akan datang.
Parti itu bagaimanapun akan bekerjasama dengan kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan.
Presiden Umno, Zahid Hamidi menyampaikan keputusan Umno dalam surat kepada Muhyiddin pada 26 Februari.
Dalam satu kenyataan awal hari ini, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata keputusan itu dibuat setelah Muhyiddin mendesak parti itu untuk memutuskan sekali dan selamanya sama ada ia akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional.
Katanya, Muhyiddin, yang merupakan presiden Bersatu meminta Umno membuat pendirian mengenai kerjasama dengan Bersatu sebelum mereka meneruskan rundingan kerusi.
“Perdana menteri meminta meminta agar Umno membuat pendirian jelas tentang kedudukan kerjasama dengan parti itu, sebelum sebarang perundingan pengagihan kerusi dapat diteruskan bagi menghadapi PRU15,” kata Ahmad.
Katanya, Muhyiddin membuat permintaan itu dalam pertemuan 15 Februari antara Umno, Bersatu dan PAS. Lima wakil setiap parti hadir dalam mesyuarat itu.
Ahmad berkata Majlis Kerja Tertinggi Umno bermesyuarat empat hari kemudian pada 19 Februari di Janda Baik untuk memutuskan apa yang harus dilakukan.
“Keputusan Majlis Kerja Tertinggi sebulat suara. Kami bersetuju bahawa kami tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15 dan kami akan terus bekerjasama dengan mereka hanya sehingga Parlimen dibubarkan,” katanya.
Keputusan ini dicapai setelah mengambil kira pandangan akar umbi dan mempertimbangkan secara cermat, buruk baiknya keberadaan dalam kerajaan ketika rakyat berhadapan dengan pandemik Covid-19, tambahnya. – 4 Mac, 2021.
Komen