Tamatnya perang politik persepsi


Naim Al-Kalantani

SAYA masih ingat bagaimana media memanipulasi berita politik circa PRU ke-14. Ketika itu saya pertama kali dapat mencelup jari ke dalam botol dakwat biru milik SPR. Era tersebut berlalu lebih kurang dua tahun sembilan bulan lalu – tetapi peristiwa tersebut masih berdengung di telinga.

Era tersebut kita dapat lihat bagaimana gerombolan rakyat bangkit melawan rejim pemerintah yang bobrok. Zaman ketika media arus perdana berterusan membawa naratif cerita dan berita yang memandang dari sudut lain.

Tetapi malangnya berita tersebut dapat ditepis dengan kekuatan jagoan netizen di Facebook dan Twitter.

Media baharu ini membolehkan maklumat dicapai dengan cepat dan bergerak bagai petir menyambar.

Imej pemerintah pada era tersebut jatuh tersungkur di medan perang. Reputasi Najib Razak tercemar dek salah satu skandal terbesar dunia; kekuatan barisan panglima Pakatan Harapan; Mahathir Mohamad buat comeback; basahan bibir rakyat berzikir setiap hari mengenai kos sara hidup kian meningkat; dan tidak lupa juga 1.4 juta wajah pengundi baharu.

Semua ini menjadikan perang persepsi bergelojak dan peperangan di media sosial kian menyengat. Pada ketika itu, pelbagai sentimen memberi konotasi yang pelbagai mengakibatkan berita yang dikeluarkan bercanggah antara satu dengan lain.

Penyokong parti politik tidak menang tangan mengawal media yang satu-satunya tidak dipegang telurnya oleh pemerintah – Facebook dan Twitter. Inilah peristiwa bersejarah yang patut dicatat di mana-mana prasasti untuk diingati oleh generasi akan datang.

Datangnya 2021 yang mana baru-baru ini sudah setahun pasukan penebuk atap Putrajaya menyambut ulang tahun mereka yang pertama. Sambutan ulang tahun ini bagi saya sangat penting kerana selepas ini jika PRU akan datang dilaksanakan dalam tahun ini (jangkaan pada September 2021) nescaya mereka tidak dapat meneruskan sambutan ulang tahun tersebut.

Sedikit daripada perang persepsi yang saya coretkan di atas tadi tamat pada era Covid-19 ini. Kemajuan teknologi membuatkan media arus perdana akan dipersetankan dan rakyat tidak lagi beriman pada televisyen dan surat khabar menjadikan persaingan semakin sengit bagi kedua-dua blok parti.

Percaturan ini sepenuhnya memerlukan fakta yang tepat dan jitu – tidak lagi boleh berdoa panjang di dalam televisyen dan rakyat tidak lagi termakan dengan janji manis pemerintah.

Politikus sempat minum kopi di Sheraton di kala virus Covid-19 baru saja memasuki Malaysia. Setahun berlalu setelah ultah disambut dengan majlis doa selamat di Masjid Putra, pun disindir oleh netizen walaupun kegiatan tersebut bersifat ibadah.

Faktor utama di sini bagi saya secara peribadi bukan lagi kerosakan bumbung Putrajaya yang ditebuk oleh tupai dalam parti ini, tetapi ketidakbolehan mereka ini untuk mengendalikan isu pandemik Covid-19 dengan berkesan.

Rafidah Aziz dalam laporan berita Astro Awani (17 Februari) bertepatan dengan isu ini. Beliau mempersoalkan gerak kerja oleh kerajaan yang setahun ini tidak memberi satu kata putus yang tepat dalam mengendalikan sesuatu perkara.

Jika pandemik ini baru berlaku seperti tahun lepas, ketika itu semua rakyat faham kita masih baru dalam menangani wabak ini. SOP ketika itu baru dibuat mengikut nasihat daripada badan kesihatan negara dan dunia. Tetapi satu perkara yang tidak dapat dimaafkan apabila sudah setahun berlalu, SOP sering kali berubah dan double standard sering kali berlaku.

Timbalan menteri yang penyayang kepada ahli keluarganya pergi ke New Zealand; menteri kuarantin tiga hari; PM ke Jakarta; hari ini menteri buat hal, esok SOP berubah; pinjaman (bukan pemberian) 150,000 laptop (yang kita pun masih menunggu kewujudannya); dan yang terbaru PM pergi umrah!

Contoh ini bukan lagi dikategorikan sebagai “persepsi”. Saya ketawa terbahak-bahak sambil menutup mulut apabila ada yang menyatakan kerajaan tidak efektif akibat pandemik Covid-19 ini. Kahkahkah. Sedang saya menaip ini pun saya masih ketawa. Kenyataan ini tidak dapat diterima dengan akal waras. Masalahnya bukan pada penularan virus, tetapi pada pimpinan tertinggi negara!

Tiada lagi cytro yang berjaya menidakkan ketololan puak politikus ini. Berita di hujung jari rakyat, fake news dapat diatasi dengan berkesan melalui media baharu dengan membuat silang rujuk dengan beberapa berita lain. Pahlawan papan kekunci dari parti pemerintah diam tidak berkutik. Ahli Parlimen daripada golongan pemerintah juga tidak bersuara kecuali sebilangan kecil.

Kebebalan pemain politik ini sudah tidak dapat dibendung lagi. Baru-baru ini pada 2 Februari, Asean Parlimentarians for Human Rights (APHR) mengeluarkan kenyataan Parlimen perlu dibuka segera dan perlu meninjau ulang perintah darurat.

Satu badan bertaraf antarabangsa, kini menempelak Malaysia kerana tindakan tidak progresif dari pemerintah negara ini membuatkan maruah kita tercalar di seantero dunia.

Kami masih merindui jalan raya. Tetapi kami memikirkan pasukan barisan hadapan yang bertungkus-lumus membendung penularan wabak Covid-19 ini. Bayangkan jika pandemik ini tamat, nescaya esok juga Padang Merbok akan dipenuhi oleh rakyat yang liar dan ganas! – 7 Mac, 2021.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen