PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin perlu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang Parlimen boleh bersidang ketika negara diisytiharkan darurat, kata Majli Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini.
Gabungan pembangkang berkata ia sangat bersetuju dengan pandangan Agung yang Parlimen sepatutnya terus berfungsi ketika negara berdepan krisis kesihatan.
“Kami menjunjung kasih ke atas Yang di-Pertuan Agong atas pandangan yang dizahirkan hari ini iaitu Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini yang ditandatangani presiden PKR, DAP dan Amanah.
“Perdana menteri perlu menjunjung titah dan segera menasihati Seri Paduka Baginda untuk memanggil sidang Parlimen seawal bulan Mac sepertimana diperkenan Tuanku di dalam Takwim Parlimen sebelum ini.”
Istana hari ini mengeluarkan kenyataan berkenaan keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bahawa Parlimen boleh bersidang ketika darurat.
Baginda menzahirkan pandangan itu selepas menerima mengadap Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Speaker Dewan Negara Dr Rais Yatim di Istana Negara hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan genap 45 hari selepas Yang di-Pertuan Agong membuat perisytiharan darurat bertujuan membendung penularan Covid-19, berkuat kuasa pada 11 Januari lalu.
Pembangkang mendakwa Muhyiddin memohon pengisytiharan darurat sebagai usaha untuk kekal berkuasa selepas kerajaan Perikatan Nasional hilang majority di Parlimen.
Dalam kenyataan Majlis Presiden PH, Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengucapkan terima kasih kepada Agong atas pandangan itu, berkata Parlimen juga perlu terus memainkan peranan dalam memastikan urus tadbir kerajaan terjaga dan proses semak imbang diteruskan.
“Ini juga pendirian PH serta majoriti ahli Parlimen, bahawa pada ketika pihak eksekutif dan kehakiman boleh berfungsi sewaktu darurat berkuatkuasa, Parlimen juga perlu terus memainkan peranannya.”
Dewan Rakyat kali terakhir bersidang pada 17 Disember sementara Dewan Negara, pada 29 Disember.
Mengikut Perlemabgaan, Parlimen mempunyai enam bulan – atau hingga 29 Jun – untuk bersidang semula sebelum ia secara automatic akan terbubar. – 24 Februari, 2021
Komen