Rosmah kecewa, tertekan dengan keputusan mahkamah, kata peguam


Raevathi Supramaniam

Rosmah Mansor hari ini diperintahkan membela diri atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 Februari, 2021.

ROSMAH Mansor kecewa dan tertekan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkannya membela diri bagi tiga pertuduhan kes rasuah yang dikenakan terhadapnya, kata peguam Jagjit Singh.

“Kami terpaksa menenangkan beliau. Kami minta beliau balik rumah dulu dan berehat,” katanya kepada wartawan di lobi mahkamah hari ini.

Beliau berkata pasukan peguam sedang mempertimbangkan untuk memanggil suami Rosmah, iaitu bekas perdana menteri Najib Razak sebagai saksi.

Katanya, mereka mungkin memanggil lima saksi untuk memberi keterangan.

“Bagi pertuduhan pertama, tidak ada permintaan daripada anak guam kami, semua dilakukan oleh pihak ketiga yang nama digugurkan.

“Bagi pertuduhan kedua, kami membuktikan wang itu tidak pernah diterima oleh beliau. Semuanya diterima oleh Rizal Mansor,” katanya.

Jagjit berkata pasukan peguam turut bersedih dengan keputusan mahkamah hari ini.

Rosmah didakwa meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Sogokan itu didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya, Rizal Mansor, sebagai ganjaran kerana menolong Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid dan Penyelenggaraan Operasi Genset Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan melalui rundingan terus.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra; kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 hingga September 2017.

Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10, 000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – 18 Februari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen