Data tunjuk tiada 'baby boom' ekoran PKP


Mohd Farhan Darwis

Menurut Jabatan Perangkaan kadar kelahiran pada suku keempat 2020 turun 2.5 peratus berbanding suku keempat 2019. – Gambar EPA, 14 Februari, 2021.

TIADA pertambahan kelahiran bayi luar biasa atau “baby boom” dikesan ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lepas, menurut data Jabatan Perangkaan.

Angka yang diperhatikan jabatan itu sebaliknya menunjukkan kadar kelahiran di Malaysia menurun sepanjang tahun lalu selepas PKP dilaksana.

Sebanyak 121,251 kelahiran hidup direkodkan pada suku keempat 2020, turun 2.5% berbanding 124,384 pada suku keempat tahun 2019, menurut angka dikeluarkan jabatan itu.

Rekod perangkaan demografi Malaysia suku keempat 2020 itu menunjukkan sebanyak 62,859 kelahiran bayi lelaki dan 58,392 kelahiran bayi perempuan.

Data terkumpul dari Oktober hingga Disember 2020 yang diperolehi The Malaysian Insight juga menunjukkan kadar kematian menurun di sepanjang tempoh tersebut.

Menurut Jabatan Perangkaan, sejumlah 44,390 kematian direkodkan berbanding 44,566 pada suku keempat 2019, iaitu penurunan sebanyak 0.4%.

Daripada jumlah itu seramai 25,938 kematian adalah kanak-kanak lelaki manakala 18,452 kematian kanak-kanak perempuan direkodkan.

Data tersebut meangkumi tiga kumpulan usia dalam julat umur bayi baru lahir hingga usia 14 tahun, remaja berusia 15 hingga 64 tahun dan 65 tahun ke atas.

Jumlah rakyat Malaysia dalam tempoh itu juga menunjukkan pertambahan sekitar 0.4%, apabila 32.73 juta orang direkodkan berbanding 32.59 juta pada suku keempat 2019.

Penduduk berusia 15 hingga 64 tahun membentuk kumpulan tertinggi dengan sejumlah 22.82 juta orang, berbanding kanak-kanak baru lahir sehingga usia 14 tahun (7.57 juta orang).

Jumlah warga emas yang berusia 65 tahun ke atas pula berjumlah 2.34 juta orang.

PKP diperkenalkan pertama kali pada Mac 2020 bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Pengkaji menjangka kadar pengangguran tahun ini akan turun 4 peratus. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Februari, 2021.

Kawalan itu menyekat pergerakan dan mengehadkan aktiviti harian rakyat termasuk aktiviti pekerjaan dan mewajibkan semua individu berada di kediaman masing-masing.

Ekoran itu, timbul spekulasi bahawa jumlah kelahiran bayi akan meningkat dengan luar biasa disebabkan kawalan pergerakan tersebut.

Namun kawalan itu didapati menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan, dan jumlah itu melonjak ke paras 5.3% pada Mei sebelum susut ke angka 4.8% pada Disember lalu.

Pengkaji Universiti Sunway menjangka kadar pengangguran akan terus turun ke angka 4% menjelang akhir tahun dan tidak akan mencatat angka tinggi seperti 2020.

Jumlah pasangan berkahwin juga menurun sepanjang tahun lalu ekoran pelaksanaan PKP dan pasangan yang melangsungkan perkahwinan pula hanya dapat mengadakan majlis kecil-kecilan.

Pada masa sama, aduan mengenai kes keganasan rumahtangga juga meningkat sewaktu pandemik, yang antara lain dikaitkan dengan masalah kewangan dan jarak antara pasangan disebabkan PKP.

Peguam memberitahu The Malaysian Insight, permohonan untuk proses runding dan cerai meningkat sejak PKP pada Mac tahun lalu.

Anak guam antara lain membuat keputusan bersama untuk bercerai bagi melindungi kepentingan masing-masing kerana ketidakpastian dan ketidakstabilan ekonomi semasa, kata peguam ini.

Laporan Statistik Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2020 menunjukkan bilangan pasangan yang mendirikan rumahtangga menurun pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, pada 2019 berlaku penurunan sebanyak 1.2% pasangan berkahwin, iaitu 203,821 orang, berbanding 206,352 orang pada tahun sebelumnya,

Menurut laporan juga, jumlah perceraian dalam kalangan rakyat negara ini meningkat 12% iaitu 56,975 pada 2019, berbanding 50,862 pada tahun sebelumnya.

PKP dilaksana semula bermula 13 Januari dan dilanjutkan sehingga 18 Februari di seluruh negara, kecuali di Sarawak yang melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat. – 14 Februari, 2021.

Laporan Statistik Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2020 menunjukkan bilangan pasangan yang mendirikan rumahtangga menurun pada tahun sebelumnya. – Gambar AFP, 14 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen