Kenali varian Covid-19 di Malaysia


Ragananthini Vethasalam

Gelombang kes pertama di Malaysia mengandungi strain B. Ini adalah jenis sama ditemui di Wuhan, China, tempat di mana koronavirus mula menyerang dunia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Februari, 2021.

SEJAK bermulanya wabak Covid-19, Malaysia dan dunia telah melihat sejumlah varian coronavirus atau strain bermutasi.

Ini tidak menghairankan kerana virus cenderung bermutasi, malah sejak pertama kali koronavirus ditemui pada 2019, sangat banyak varian Covid-19 baharu muncul kemudiannya.

Gelombang kes pertama di Malaysia mengandungi strain B. Ini adalah jenis sama ditemui di Wuhan, China, pusat penyebaran koronavirus.

Beberapa kes pertama di negara ini datang dari penduduk Wuhan yang berkunjung ke Malaysia untuk bercuti, di mana mereka juga didapati positif Covid-19.

Sejak itu, Malaysia mendapati beberapa strain baharu.

Strain virus dari Indonesia

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata tidak mustahil strain kluster Tabligh Sri Petaling berasal dari Indonesia kerana terdapat 692 peserta dari negara itu.

Strain itu turut dikenal pasti dalam sampel yang diambil dari tahanan Indonesia di Pusat Tahanan Imigresen.

Malah, Noor Hisham juga berkata permulaan gelombang kedua mungkin berasal dari Indonesia.

Kluster itu melaporkan 3,375 kes.

Gelombang kes pertama di Malaysia mengandungi strain B. Ini adalah jenis sama ditemui di Wuhan, China, pusat penyebaran koronavirus. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Februari, 2021.

Varian dengan mutasi D614G

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), varian SARS-CoV-2 dengan penggantian D614G dalam gen pengekodan protein pepaku (spike protein) muncul pada penghujung Januari atau awal Februari tahun lalu.

Menjelang Jun 2020, virus itu menjadi virus paling dominan yang berdedar di seluruh dunia.

“Kajian pada sel pernafasan manusia dan model haiwan menunjukkan, apabila dibandingkan dengan strain virus awal, strain dengan penggantian D614G telah meningkatkan jangkitan dan penularan,” kata WHO.

“Virus SARS-CoV-2 dengan penggantian D614G tidak menyebabkan penyakit yang lebih parah atau mengubah keberkesanan diagnostik, terapi, vaksin, atau tindakan pencegahan kesihatan awam yang ada,” tambahnya.

Banyak kes dan kluster di Malaysia dikatakan mengandungi strain dengan mutasi ini.

Pada Ogos, Dr Noor Hisham mengumumkan Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR) telah mengesan mutasi D614G dalam sampel dari tiga kes kluster Sivagangga dan satu kes dari kluster Ulu Tiram.

“Didapati ia 10 kali lebih mudah untuk menjangkiti, selain mudah merebak jika disebar oleh individu ‘penyebar super’ (super spreader),” katanya.

Pada 2 Oktober, Noor Hisham berkata IMR juga mengesan strain D614G dalam beberapa sampel di kluster penjara Benteng Lahad Datu di Sabah. Bagaimanapun, strain khusus ini dikatakan mempunyai sifat berbeza daripada kluster Sivaganga selain asal-usulnya boleh dijejak sehingga ke Indonesia dan Filipina.

Varian A701V

Pada 25 Disember, Noor Hisham berkata varian A701V, yang pertama kali dikesan di kluster penjara Benteng Lahad Datu, telah tersebar ke sebilangan besar kluster Covid-19 di semenanjung.

“Selain peningkatan mendadak mutasi virus D614G, kita juga menyaksikan satu lagi jenis virus, A701V yang pertama kali dikesan dalam kluster Benteng Lahad Datu, yang kemudiannya tersebar dalam hampir kesemua kluster termasuk di Semenanjung dan Sabah (selepas kluster Benteng Lahad Datu).”

Beliau berkata sebaran virus itu juga dikesan pada kluster Teratai yang kini menjangkiti lebih 6,000 orang.

“Strain virus itu pertama kali dijumpai di antara 22 jujukan SARS-CoV-2 dari kluster Benteng Lahad Datu, dan kemudian tersebar ke sebahagian besar kluster gelombang ketiga di Semenanjung Malaysia dan Sabah,” tambahnya.

Strain ini dikesan di Afrika Selatan, Australia, Belanda dan England pada masa sama ianya dilaporkan di Malaysia.

Mutasi ini mempunyai kelaziman (prevalence) sekitar 0.18%.

Varian UK

Sekurang-kurangnya dua kes yang mengandungi strain virus UK B.1.1.7 telah dikesan di Malaysia.

Pada Januari tahun ini, Noor Hisham mengumumkan seorang pelancong yang baru-baru ini pergi ke United Kingdom didapati positif Covid-19.

“Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan bahawa satu kes Covid-19 varian UK B.1.1.7 atau 20202/01 mutasi spike protein telah dikesan di Malaysia pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata varian UK B.1.1.7 sangat mudah tular walaupun tidak menyebabkan gejala yang teruk.

Pada 5 Februari, Noor Hisham mengumumkan kes kedua dikesan setelah seorang warganegara baru-baru ini pergi ke Emiriah Arab Bersatu.

Varian itu, yang pertama kali ditemui di UK, dilaporkan mempunyai 17 mutasi.

Pada 12 Februari tahun ini, Dr Noor Hisham mengumumkan varian B1.470 dan B.1.160 telah dikesan di Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Februari, 2021.

Varian B.1.470 dan B.1.160

Pada 12 Februari tahun ini, Dr Noor Hisham mengumumkan varian B1.470 dan B.1.160 telah dikesan di Sarawak.

Pada masa ini, tidak ada bukti yang menunjukkan sama ada varian B.1.470 dan B.1.160 kuat berjangkit.

Penyelidik Universiti Malaysia Sarawak percaya B.1.470 berkemungkinan berasal dari Indonesia.

Virus ini mempunyai mutasi D614G.

Sementara itu, varian B.1.160 kebiasaannya terdapat di negara-negara Eropah seperti Perancis (11.2%), Denmark (28%), Switzerland (15.4%) dan United Kingdom (17.2%). – 14 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen