MUTASI baharu Covid-19, A701V yang kali pertama di kesan pada kluster penjara Benteng Lahad Datu telah merebak dalam kebanyakan kluster wabak itu di Semenajung Malaysia, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
“Selain peningkatan mendadak mutasi virus D614G, kita juga menyaksikan satu lagi jenis virus, , A701V yang kini tersebar dalam hampir kesemua kluster termasuk di Semenanjung dan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau berkata sebaran virus itu juga dikesan pada kluster Teratai yang kini menjangkiti lebih 6,000 orang.
Kluster yang dikaitkan sebuah syarikat sarung tangan itu merupakan paling ramai dijangkiti di Malaysia setakat ini.
Selain itu, kluster tapak binaan Damanlela, Perigi, Selasih, Saguking, Tenaga, Kasih, Bah Ketil, Bukit dan Kaya juga dikesan mempunyai sebarang virus mutasi itu.
Walaupun kesan mutasi virus itu masih belum diketahui, Dr Noor Hisham berkata ia boleh menjadi mutasi dominan yang mudah tersebar.
Virus itu telah dikesan di Afrika Selatan, Australia, Belanda dan England pada masa yang sama ia dilaporkan di Malaysia.
“Setakat ini, Institut Kajian Perubatan (IMR), Institut Kesihatan Negara (NIH), dan Kementerian Kesihatan (KKM) telah menjalankan analisis terhadap lebih 120 genom SARS-CoV-2 daripada sampel klinikal gelombang pertama sehingga gelombang ketiga di Malaysia,” katanya.
Malaysia sebelum ini melaporkan jangkitan virus dikenali D641G yang dikesan dari kluster Sivagangga dan Tawar di Kedah.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata mutasi baharu Covid-19 atau dikenali sebagai VUI-202012/01 yang menular di United Kingdom (UK) masih belum ditemui di Malaysia.
“Pada masa ini, varian ini masih tidak dijumpai di Malaysia. Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) akan terus melakukan penjujukan keseluruhan genom untuk memantau kehadiran varian ini dan juga varian lain,” katanya.
Katanya, varian baharu tersebut didapati menunjukkan peningkatan sebanyak 70 peratus kadar penghantaran dan peningkatan kes tiga kali ganda dalam tempoh pemberitahuan 14 hari.
“Kerajaan dan KKM akan terus berwaspada dengan pelbagai langkah yang dilaksanakan untuk mencegah berlakunya limpahan varian baharu ke Malaysia.” – 25 Disember, 2020.
Komen