TEMPOH kuarantin tiga hari bagi anggota Jemaah Menteri yang kembali dari lawatan rasmi luar negara mungkin akan diperluaskan kepada ahli perniagaan dan orang awam, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.
Tempoh kuarantin wajib dipendekkan dari 10 hari kepada tiga hari bertujuan untuk membuka ekonomi dan menggalakkan pelabur datang ke Malaysia, tambahnya.
“Kita buat pada menteri dulu sebab menteri senang buat perintah sebelum kita buka kepada orang lain. Seperti ahli perniagaan (misalnya),” kata Adham dipetik Malaysiakini.
Adham pada Isnin mengumumkan anggota Jemaah Menteri hanya perlu menjalani kuarantin tiga hari selepas kembali dari lawatan rasmi luar negara.
Menteri akan dikecualikan daripada Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), menurut Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan pada Isnin.
Menurut Adham, kelonggaran hanya diberi kepada menteri yang mengikuti “jadual program ketat” ketika berada di luar negara atas lawatan rasmi. Menteri yang gagal mematuhi syarat perlu menjalani kuarantin penuh 10 hari.
Semua kenamaan dan ahli perniagaan yang dibenarkan ke luar negara juga perlu mengikuti jadual perjalanan yang ketat untuk mendapat kelonggaran kuarantin. Manakala bagi orang awam pula bergantung apakah peraturan itu dipenuhi.
Jelasnya lagi, tempoh kuarantin 10 hari yang diwajibkan sebelum ini menghalang pelabur dan kenamaan asing datang ke Malaysia.
“Sebab kerajaan melakukan ini adalah untuk memastikan kita dapat membuka ekonomi kita.
“Biasanya kita meminta ujian calitan tiga hari sebelum berlepas ditambah tujuh hari kuarantina di negara kita. Jadi itu adalah 3 + 7.
“Jika mereka tidak melakukan ujian calitan sebelum berlepas, mereka harus menjalani ujian calitan dan didapati negatif di pintu masuk antarabangsa dan kuarantin selama 10 hari.
“Itulah sebabnya pelabur tidak datang, pemimpin asing tidak berkunjung ... dan kerana itu pelaburan itu tidak masuk,” katanya kepada Malaysiakini.
Beliau dalam pada itu mengulas mengapa Indonesia tidak mengenakan kuarantin terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semasa lawatan rasmi minggu lepas.
“Mengapa Indonesia, meski mencatat begitu banyak jangkitan, masih tidak kuarantin Muhyiddin? Ini kerana mereka ingin membuka ekonomi.”
Tempoh kuarantin 10 hari juga katanya adalah berdasarkan data klinikal yang sahih.
“Ini bukan mengenai sains sepenuhnya. Ini mengenai bagaimana kita mengatur siapa yang akan pergi ke luar negeri.
“Di luar negara mereka tidak perlu kuarantin, tetapi mereka harus kuarantin ketika mereka pulang. Ini tidak adil,” katanya. – 10 Februari, 2021.
Komen