PUTRAJAYA hari ini mengeluarkan tatacara baharu untuk sambutan Tahun Baharu Cina menggantikan prosedur operasi standard (SOP) yang diumum minggu lalu, tiga hari selepas ia mencetuskan kontroversi dan jadi bahan jenaka di media sosial.
Di bawah SOP baharu, 15 orang ahli keluarga terdekat yang tinggal dalam lingkungan 10 kilometer dibenarkan untuk makan malam bersama menjelang tahun baru pada 11 Februari ini. SOP baharu itu bagaimanapun mengekalkan larangan rentas daerah dan negeri.
Perubahan SOP itu diputuskan dalam mesyuarat teknikal Majlis Keselamatan Negara hari ini yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
“Mesyuarat bersetuju meluluskan SOP Sambutan Tahun Baru Cina yang telah ditambah baik.
“Mesyuarat bersetuju makan besar keluarga pada 11 Februari 2021 dibenarkan dengan tidak melebihi 15 orang ahli keluarga terdekat yang tinggal dalam zon lingkungan 10km radius tanpa rentas daerah dan negeri,” kata Kementerian Perpaduan Negara dalam satu kenyataan hari ini.
Keputusan hari ini adalah patah balik daripada pengumuman Ismail Sabri dan Kementerian Perpaduan Negara pada Jumaat lalu, yang antara lain menggariskan hanya ahli keluarga yang tinggal serumah boleh makan besar bersama.
SOP itu juga jadi pertikaian kerana mengandaikan adat makan besar dibuat pada 12 dan 13 Februari iaitu pada hari pertama dan kedua tahun baharu, dan bukannya pada malam menjelang tahun baharu. Kesilapan itu sebelum ini sudah dibetulkan juga oleh Putrajaya.
Mesyuarat teknikal MKN juga hari ini setuju untuk membenarkan aktiviti keagamaan di rumah ibadat pada 11, 12 dan 19 Februari namun tertakluk kepada SOP ketat.
Antara peraturan yang dikenakan ialah tidak lebih 30 orang pada satu-satu masa dengan tempoh 30 minit setiap kumpulan yang diselangi dengan kerja-kerja sanitasi selama 30 minit.
Jadual waktu sembahyang juga ditetapkan antara 6 pagi hingga 2 petang sahaja, menjadikan keseluruhan lapan sesi yang dibenarkan.
Kerajaan juga memberi kebenaran untuk aktiviti sembahyang pada 19 Februari di halaman rumah, mengikut tradisi kepercayaan kaum Hokkien.
“Pegawai-pegawai Perpaduan yang telah dilantik sebagai pegawai pemantau di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 akan melakukan pemantauan pematuhan SOP yang telah ditetapkan,” kata kenyataan itu.
Pada Jumaat lalu, Timbalan Menteri Perpaduan Negara Ti Lian Ker sendiri menyifatkan SOP yang dikeluarkan oleh kementeriannya sebagai salah dan menggesa ia ditarik balik.
Ini adalah kali pertama Tahun Baharu Cina jatuh dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP). Pada tahun lalu, Tahun Baharu Cina disambut pada hujung Januari, hampir dua bulan sebelum kerajaan mengenakan sekatan membendung penularan Covid-19 pada 18 Mac. – 7 Februari, 2021.
Komen