Kementerian keluarkan SOP tahun baru Cina, timbalan menteri minta tarik balik


Timbalan Menteri Perpaduan Negara Ti Lian Ker menggesa SOP untuk sambutan Tahun Baru Cina ditarik balik dan disifatkannya seperti kota larangan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 4 Februari, 2021.

TIMBALAN Menteri Perpaduan Negara Ti Lian Ker menggesa standard prosedur operasi standard (SOP) untuk sambutan Tahun Baru Cina ditarik balik, beberapa jam selepas peraturan itu dihebahkan oleh kementeriannya kepada umum.

“Ada orang buat silap. SOP ini mesti ditarik balik segera dan dibetulkan.

“Ini bukan SOP tetapi kota larangan,” tulisnya di Facebook, malam ini.

Ti turut memaparkan lampiran SOP yang dihebahkan oleh Kementerian Perpaduan Negara di akaun rasmi Facebook kementerian lebih kurang pukul 6 petang tadi.

Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob juga mengumumkan SOP yang sama dalam sidang media hariannya pada petang tadi.

SOP itu antara lain membenarkan makan besar di rumah kediaman bersama ahli keluarga dari rumah yang sama sahaja, pada 12 dan 13 Februari.

Mengikut adat budaya masyarakat Tionghua, tahun baru dalam kalendar qamari Cina disambut dengan seluruh ahli keluarga di mana juga berada akan berkumpul bersama untuk makan malam pada malam menjelang tahun baru.

Ini menjadikan acara makan besar sebenarnya akan berlangsung pada malam 11 Februari.

Mengikut adat budaya sambutan juga, golongan muda dianjurkan menziarahi mereka yang lebih tua dan dihadiahkan ang pao atau wang dalam sampul merah yang diberikan sebagai ucapan mendapat nasib baik bagi mereka yang belum berkahwin.

Standard prosedur operasi standard (SOP) untuk sambutan Tahun Baru Cina yang dimuat naik di Facebook Kementerian Perpaduan Negara. – Gambar Facebook, 4 Februari, 2021.

SOP sambutan tahun baru Cina yang dikeluarkan oleh Kementerian Perpaduan Negara bagaimanapun melarang aktiviti ziarah rumah ke rumah. Ia juga tidak membenarkan sebarang kegiatan rentas daerah dan negeri.

SOP itu juga melarang sebarang aktiviti persembahan dan kebudayaan seperti persembahan tarian singa atau tarian naga, malah menyenarai beberapa kegiatan lain seperti perarakan tanglung atau chingay, persembahan opera Cina atau pertunjukan pentas.

Menurut kenyataan Kementerian Perpaduan Negara, SOP itu diputuskan hasil perbincangan kementerian dengan beberapa badan masyarakat Cina serta pihak berkuasa dan Kementerian Kesihatan. 

Dalam kenyataan itu, menterinya Halimah Mohamed Sadique dipetik berkata SOP itu terpakai di seluruh negara kecuali Sarawak yang masih dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Jadi bahan lawak

Sementara itu, SOP sambutan tahun baru Cina yang dihebahkan oleh Putrajaya jadi bahan lawak di media sosial, malam ini.

Beberapa pengguna Twitter menyifatkan SOP itu sebagai lawak jenaka dan tidak masuk akal, antaranya Adun Kampung Tunku dari Selangor Lim Yi Wei.

Beliau juga mengingatkan penggubal SOP itu masyarakat Cina tidak menonton opera Cina semasa sambutan tahun Cina.

“Boleh tak tolong nasihatkan PN (Perikatan Nasional) untuk ada kesedaran budaya sedikit,” tulis wakil rakyat DAP, yang juga mencuit akaun Twitter rasmi MCA.

Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin pula dengan nada sinikal menyeru masyarkat Tionghua agar mengadakan majlis makan besar sekarang kerana ia dilarang pada sambutan tahun baru nanti.

“Kita boleh makan besar sekarang, tetapi tidak semasa tahun baru Cina.

“Tunggu u-turn lagi!” tambahnya.

Beberapa pengguna Twitter lain juga membuat lawak dengan mencadangkan makan besar atau ziarah diadakan di pasar malam atau di salun rambut selepas Ismail Sabri petang tadi juga mengumumkan beberapa lagi kelonggaran SOP yang dibenarkan untuk sektor perniagaan.

Ini adalah kali pertama Tahun Baru Cina jatuh dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP). Pada tahun lalu, Tahun Baru Cina disambut pada hujung Januari, hampir dua bulan sebelum kerajaan mengenakan sekatan membendung penularan Covid-19 pada 18 Mac. – 4 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen