Antara perang budaya dan politik


Haris Hauzah

PADA dasarnya negara ini tidak pernah memberi apa-apa kepada seni, sastera dan budayanya sendiri. Malaysia mungkin ada Istana Budaya, Balai Seni Lukis Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka atau barangkali Finas yang terletak di sebelah Zoo Negara sana. Akan tetapi seni, filem dan bahasa kita tetap juga tidak ke mana-mana.

Masyarakat masih juga tetap memandang seni dengan pandangan sebelah mata kerana percaya seni kita hanyalah barang kelas tiga.

Mansor Puteh pada sekitar tahun-tahun 80-an dulu pernah menulis dalam bukunya Kritikan Filem Mansor bin Puteh.

“Di negara kita, tradisi penulisan kritikan filem hanya bermula sejak awal tahun 1980an sahaja. Dan ia memerlukan banyak penulis kritikan filem dan tulisan sebelum boleh dikatakan sebagai sudah mempunyai suatu tradisi yang kukuh.

“Sekarang ini apa yang berlaku ialah beberapa orang itu muncul dan mengeluarkan kritikan-kritikan mereka, dan tidak lama dia pun hilang entah ke mana. Tidak terdapat persambungan dalam karya mereka. Dan bidang kritikan filem ini juga terbantut dibuatnya,” tulisnya.

Tidak seperti kritikan sastera dan seni yang muncul lebih awal dan sudah pun berkembang serta membiak maju pada tahun-tahun 1970an, kritikan filem muncul agak lewat. Perkembangannya perlahan dan ia sangat terdesak kepada suatu lentur tradisi yang benar-benar utuh dan kukuh.

Satu lagi hal yang jadi galang besar pada bidang kritikan filem ini adalah kerana ia dilihat murah dan mudah. Lalu ia dianggap picisan dan sampingan dalam arus perdana perfileman.

Lantas kerana hal itulah sejak kemunculannya dari tahun 1980an lagi, ia telah diabai dan tidak dianggap sebagai salah satu komponen penting dalam industri perfileman.

Seperti yang dijelaskan Mansor Puteh, penulis yang lahir dan mula mengasah minat pada kritikan filem itu, belum pun sempat matang akhirnya entah ke mana menghilang. Hal tersebut telah merencatkan perkembangan bidang ini daripada terus berkembang.

Walau bagaimanapun, menurut Mansor Puteh lagi: “Penulis-penulis kritikan filem tempatan sekarang ini (iaitu angkatan tahun 1980an) adalah terdiri daripada golongan muda yang melihat filem tempatan dari sudut yang lain. Dan ini sedikit sebanyak telah berjaya mengalihkan pandangan penonton dan masyarakat ke arah pembentukan suatu sinema Malaysia yang lebih segar.”

Nah, Mansor Puteh seakan-akan mengharapkan bidang kritikan filem ini akan ada penerusan. Dia seakan percaya bidang ini ada sinar untuk membawa semangat bagi menganjakkan pandangan masyarakat terhadap filem kepada suatu takah yang lebih menjanjikan, iaitu ke arah pembentukan sinema Malaysia yang berjatidiri, beridentiti dan berkelas.

Malangnya semua itu masih belum lagi terjadi. Filem Malaysia belum benar-benar dianggap suatu produk budaya atau seni. Malangnya ia hanya dianggap barang dagangan untuk menghiburkan diri.

Justeru itu penulis, pengulas dan pengkritik harus mula berhenti berbicara tentang filem. Kalian kini harus mula lebih banyak memperkatakan tentang bahaya filem dan seni yang diinstitusikan, kononnya untuk memajukan seni.

Sejujurnya aku berasa kemajuan dan kemodenan dunia hari ini telah melahirkan terlalu ramai penulis, pengulas dan pengkritik filem. Sehingga menulis tentang filem itu sudah tidak lagi aku kira memberikan keseronokan.

Kemodenan tahun 2021 hari ini telah memberikan lebih banyak ruang dan peluang kepada lebih ramai orang. Platform media yang pelbagai dan bermacam menjadikan kerencaman bidang ini jadi lebih meriah dan beraneka ragam.

Penulis, pengulas dan pengkritik filem era 2020an sekarang ini memang lebih vokal dalam meluahkan pandangan dan perasaan mereka terhadap filem yang telah mereka saksikan. Malah keberanian mereka setanding Mansor Puteh sewaktu memberikan pandangan dan ulasan.

Walau bagaimanapun, mereka harus menyedari akan hal dua peperangan ini. Iaitu perang politik dan perang budaya yang mana satu hari ini lebih kuat menekan.

Kita mungkin telah terlalu lama terdedah dan sering disogokkan dengan hal-hal ancaman perang kebudayaan – di mana kita maklumi seni yang dijadikan bom berisi mentaliti barat yang bakal membadai mengganasi anak bangsa kita dengan menggantikan budaya-budaya seni sendiri dengan budaya-budaya seni kebaratan.

Kita barangkali sudah terlalu lama khuatir, apa akan terjadi dengan keyakinan dan iman ketimuran kita apabila bertubi-tubi diserang ganas sampai kita pun rela menggantikan isi dan inti ketimuran dengan kebarat-baratan.

Semua ini harus segera dihentikan, kerana tradisi timur juga harus meraikan tradisi-tradisi barat. Sebagaimana dunia barat meraikan dan turut memberikan tempat kepada tradisi-tradisi ketimuran di dunia barat.

Hari ini dan kali ini peperangan yang harus kita perdebat dan korpuskan adalah perang politik yang lebih kotor, jahat dan jijik.

Melalui perang politik, seni, sastera dan budaya kita kehilangan lebih banyak hal. Kekayaan potensinya dibantutkan, kemajuannya direncatkan, perkembangannya dicacat-celakan. Sampai masyarakat kita tidak lagi tahu apa itu seni, apa jasa sastera dan apa bakti budaya kepada masyarakat dan negara.

Perang politik ini muncul dalam pelbagai bentuk korupsi. Bermacam salah guna kuasa dan seribu satu kelembapan urus tadbir sepertimana apa yang kita lihat pada Finas.

Perang politik ini lahir apabila seni, sastera dan budaya seperti filem diinstitusikan menjadi yang namanya Finas dan persatuan-persatuan yang tak memanfaatkan.

Musuh kita kali ini lebih bahaya, kerana dia punya kerusi dan kuasa yang mengaku pejuang seni bangsa akan tetapi mendiamkan seni-seni yang dikhianat. 

Penulis, pengulas dan pengkritik filem hari ini harus lebih banyak terlibat dalam perang politik ini. Iaitu seperti seorang ketua pegawai eksekutif yang tergamak memanggil dan menggelar-gelarkan orang seni itu anjing yang banyak menyalak.

Dialah musuh seni filem hari ini yang harus kita semua depani. – 7 Februari, 2021.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen