Badan ibu bapa mahu MRSM saring semua calon SPM


Diyana Ibrahim

Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia gesa semua calon SPM disaring Covid-19 sebelum menduduki peperiksaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Februari, 2021.

BADAN terbesar mewakili ibu bapa kepada pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) menuntut agar semua calon disaring sebelum dibenar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia, Muafakat menggesa demikian selepas kes Covid-19 dikesan semakin menular dan membentuk kluster di beberapa buah MRSM.

Presidennya Sayed Alfeizal berkata untuk itu Muafakat yang mewakili 80,000 ibu bapa pelajar MRSM mengalu-alukan bantuan kerajaan dan Mara menampung kos ujian tersebut.

Jelasnya, ini kerana jika tanpa bantuan dari kerajaan atau pihak Mara, saranan itu mungkin akan membebankan ibu bapa.

“Kalau satu ujian PCR itu paling kurang kosnya RM250 jadi kalau ada bajet kerajaan atau Mara kita alu-alukan.

“Kalau kita suruh ibu bapa keluarkan (duit) sendiri banyak juga dalam keadaan pandemik Covid-19,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kluster terbaharu dikesan di MRSM Bentong, seperti diumumkan Kementerian Kesihatan semalam dengan nama Kluster Lebuh Karak.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata lapan kes positif Covid-19 dalam kalangan pelajar dan kakitangan sekolah tersebut.

Mara dalam satu kenyataan turut mengesahkan perkara itu berkata pihak pengurusan maktab mengambil langkah segera yang wajar untuk menguruskan penularan pandemik.

Tiga lagi kluster dikesan terdahulu di MRSM Tun Ghazali  Shafie Kuala Lipis, MRSM Sungai Besar dan di kolej Mara Kuala Nerang.

Kes itu dikesan menular selepas kerajaan membenarkan pelajar yang meduduki peperiksaan hadir semula ke sekolah untuk menjalani pembelajaran bersemuka.

Semua pelajar dan guru tidak diwajibkan untuk menjalani ujian Covid-19 sebelum kembali ke sekolah yang bermula awal bulan lalu.

Mengulas perkembangan itu, Sayed berkata pelaksanaan ujian Covid-19 perlu ditentukan memandangkan ujian SPM akan dilakukan dalam tempoh dua minggu lagi.

“Kalau buat ujian, katakan seminggu sebelum SPM, dan dapat keputusan dua tiga hari sebelum tarikh SPM, kalau ada seorang yang positif, jadi bagaimana?

“Kena kuarantin semua orang dan selepas itu pula bagaimana?” katanya yang menambah, ujian Covid-19 sebaik-baiknya diadakan sebelum pelajar kembali ke sekolah lagi.

Seterusnya, beliau juga mencadangkan kemasukan pelajar tingkatan empat dan lima bagi bagi sesi 2021 ditangguhkan terlebih dahulu.

“Kalau boleh tangguhkan dululah. Bagi lepas pelajar SPM, kalau ramai sangat nanti susah tak terkawal,” katanya.

Tambahnya, prosedur operasi standard perlu diperketatkan lagi, bukan saja kepada pelajar namun juga di kalangan guru dan semua kakitangan termasuk pegawai keselamatan.

Pada masa sama beliau turut mengulangi rasa kesal ke atas satu laporan portal berita yang menurutnya membuat kenyataan kurang tepat berhubung situasi di MRSM Bentong.

Katanya, laporan itu seolah-seolah menunjukkan Muafakat tidak bertindak menghadapi situasi tersebut.

“Bukan nak sembunyi tapi kalau belum dapat maklumat rasmi memang pihak maktab pun tak boleh umumkan lagi.

“Dan komunikasi itu mungkin hanya pada ibu bapa kontak rapat pelajar saja. Dan mungkin ada sesetengahnya lambat dapat maklumat jadi mereka kata pihak maktab cuba sembunyikan keadaan.

“Itu yang cetuskan panik kepada ibu bapa.

“Muafakat sentiasa berhubung dan dan hulurkan bantuan juga. Contoh Muafakat cawangan Bentong ada juga bagi bantuan vitamin C, air mineral kepada pelajar,” katanya.

Selain itu, timbul dakwaan di media sosial menuduh pelajar MRSM dijangkiti Covid-19 ditempatkan di dorm bersama pelajar lain kerana tiada tempat pengasingan.

Mara dalam satu kenyataan pada Isnin menangkis tuduhan itu dan memberi jaminan maktab MRSM mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara. – 6 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen