Mara sahkan jangkitan Covid-19 di MRSM Bentong


Diyana Ibrahim

Mara dalam satu kenyataan berkata pihak pengurusan MrSM Bentong sudah mengambil langkah segera yang wajar untuk menguruskan penularan pandemik. – Gambar Facebook, 4 Februari, 2021.

MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) mengesahkan ada kes jangkitan Covid-19 di Maktab Rendah Sains Mara Bentong, sehari selepas Kementerian Kesihatan mengumumkan wujud kluster baharu yang diberi nama Kluster Lebuh Karak.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya mengesan lapan kes positif Covid-19 dalam kalangan pelajar dan kakitangan sebuah institusi pendidikan di Bentong.

Mara dalam satu kenyataan berkata pihak pengurusan maktab telah mengambil langkah segera yang wajar untuk menguruskan penularan pandemik.

“MRSM Bentong telah mengambil langkah segera yang sewajarnya dengan menubuhkan jawatankuasa bencana Covid-19 bagi menguruskan kes yang berlaku,” kata badan itu dalam satu kenyataan hari ini.

The Malaysian Insight difahamkan kes ini melibatkan seorang pelajar Selangor yang pulang ke maktab pada 9 Januari lalu dan kemudian disaring selepas demam dan batuk pada 28 Januari.

Pelajar itu disahkan positif pada 1 Februari.

Semalam, Noor Hisham berkata sejumlah 170 individu telah disaring dalam Kluaster Lebuh Karak.

Mara dalam kenyataan berkata seramai 38 pelajar, 5 pekerja dewan makan, 6 staf bertugas di asrama dan seorang guru yang mempunyai kontak rapat dengan pelajar pertama yang disahkan positif telah menjalani ujian calitan di maktab itu.

Mara dalam pada itu menafikan laporan media yang memetik sumber ibu bapa mendakwa pihak maktab tidak memberikan maklumat terkini berhubung keadaan pelajar di MRSM Bentong.

Mara berkata pihak maktab sentiasa memberikan maklumat terkini kepada ibubapa dan seluruh kakitangan mengenai situasi sebenar yang terjadi.

“Tidak wujud dakwaan ibu bapa tidak diberi apa-apa makluman serta tiada arahan dikeluarkan supaya pelajar mendiamkan diri,” kata Mara.

Semalam, portal berita Kosmo Online mendakwa lima pelajar calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di MRSM Bentong dan tiga kakitangan dewan makannya positif Covid-19 selepas ujian saringan minggu lepas.

Maklumat itu bagaimanapun lapor Kosmo Online disembunyikan oleh MRSM Bentong.

Sementara itu, Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia (Muafakat) menyeru ibu bapa pelajar MRSM agar bertenang dan menegaskan pihak mereka sedang berurusan dengan pengurusan MRSM yang terlibat jangkitan Covid-19 serta pihak pengurusan Mara.

Badan wakil ibu bapa pelajar MRSM itu berkata selain di Bentong, beberapa MRSM lain juga dikesan ada jangkitan Covid-19 antaranya di Kuala Lipis, Sungai Besar serta Kolej Mara Kuala Nerang.

“Muafakat ingin memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa tiada isu menyembunyi maklumat seperti yang didakwa,” kata badan itu dalam satu kenyataan.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen