Felda beli 1.65 juta lagi saham FGV daripada pasaran terbuka 


LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membeli 1.65 juta lagi saham-saham FGV Holdings Bhd daripada pasaran terbuka pada harga tawaran RM1.30 sesaham.

Dalam kenyataan pada hari ini, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB), penasihat prinsipal Felda dalam tawaran pengambilalihan saham-saham FGV berkata pembelian itu telah dilakukan pada 4 Februari (Khamis).

Pada 8 Disember, 2020, Felda mengumumkan ia bercadang membuat tawaran pengambilalihan selepas membeli 222.48 juta saham FGV (6.1 peratus kepentingan) dipegang oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), dan 283.71 juta saham FGV (7.78 peratus kepentingan) dipegang oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd bernilai RM658 juta.   

Setakat 29 Januari, 2021, Felda dan mereka yang terlibat memegang sebanyak 68.76 peratus kepentingan dalam FGV.

Maybank IB baru-baru ini mengumumkan bahawa masa dan tarikh tutup untuk pemegang saham menerima tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat telah dilanjutkan sehingga 16 Februari, 2021, pukul 5 petang.– Bernama, 5 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen