PILIHAN Raya Umum ke-14 (PRU14) boleh diadakan bila-bila masa tanpa perlu menunggu proses persempadanan semula lengkap, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Mohd Hashim Abdullah.
Beliau berkata, SPR hanya mengikut prosedur perjalanan persempadanan semula jika panelnya membuat keputusan menerima bantahan pendengaran awam dan akan mengusulkan cadangan baru.
Katanya, ia bergantung kepada perdana menteri untuk menggunakan persempadanan baru atau yang lama jika proses tersebut masih belum lengkap.
“Kita perlu lihat perbezaan persempdanan dan pilihan raya. Pilihan raya tak perlu bergantung kepada persempadanan.
“Kalau kata pilihan raya esok, beliau (perdana menteri) boleh bubar Parlimen tanpa kira persempadanan semula,” katanya yang ditemui media selepas pendengaran hari ketiga bantahan persempadanan semula kawasan Parlimen di Kuala Selangor.
“Tidak semestinya. (Tunggu persempadanan lengkap) kerja kita membawa laporan kepada perdana menteri dan lepas itu SPR cuci tangan (tunggu hingga pilihan raya baru jalankan tugas)
“Sebab itu kita tidak boleh jawab soalan mengenai bulan berapa pilihan raya akan diadakan kerana kita bukan ada kuasa besar.”
Proses persempadanan semula dikatakan isyarat paling jelas mengenai bilakah sebenarnya PRU14 akan diadakan.
Pendengaran awam mengenai bantahan persempadanan semula Selangor yang diadakan di Shah Alam akan berakhir pada 8 Januari depan.
Pada masa sama beliau menafikan SPR membuat pendengaran awam mengenai persempadanan semula secara tergesa- gesa.
“Dakwaan itu tidak betul kerana SPR mengikut prosedur dan tempoh yang diberi selama lapan tahun dan ia kini sudah melebihi waktu tersebut.”
Tambahnya pendengaran awam mengenai bantahan persempadanan semula sudah selesai di seluruh negeri kecuali Selangor.
“Kita memang buat prosedur sama ada kita nak terima atau tolak. Sebab macam mana pun kita akan pamer (keputusan) kemudian terpulang untuk membantahnya.
Katanya, SPR mengambil masa sebulan untuk memutuskan pendengaran tersebut dan kemudian akan mempamerkan keputusannya.
“Kita akan pamer dalam masa sebulan dan kemudian lihat sama ada bantahan lagi atau tidak.”
Pengerusi SPR itu berkata, pihaknya juga membenarkan jika pengadu yang tidak dapat hadir ke sesi pendengaran di Parlimen diselitkan ketika sesi bantahan lain.
“Tidak kira jika pengadu tidak datang hari ini, mereka masih boleh boleh membantah.
“Tiada masalah jika dia tidak dapat hadir disebabkan cuti, cuma maklumkan dan kita akan selitkan untuk sesi akan datang. Ini kerana kita akan dengar juga berdasarkan laporan tidak kira dia datang atau sebaliknya.”
Sebelum ini Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin mempertikaikan tindakan SPR membuat pendengaran awam ketika musim cuti perayaan dan tahun baru.
Terdahulu, dua kes diadukan dalam sesi pendengaran bantahan persempadanan semula bagi kawasan Parlimen Kuala Selangor.
Kes pertama, pembantahnya daripada Amanah yang mewakili penduduk Taman Saujana Utama.
“Mereka hendak masukkan kita dalam DUN Paya Jaras, Parlimen Sungai Buloh.
“Jadi dasar itu yang saya bantah (sebab), akan ada dua pentadbiran untuk satu kawasan taman yang kecil. Ia akan mengelirukan daripada segi pentadbiran dan rakyat,” kata Hafizah Ghazali yang juga penduduk Taman Saujana Utama.
Bagi kes pertama yang membantah hari ini, ia dihadiri tiga pembantah.
Bagi kes kedua, seramai 10 individu hadir membantah dengan meletakkan tiga jurucakap dalam sesi tersebut.
Ketiga-tiga jurucakap yang juga ahli PAS mewakili kawasan tiga peti undi iaitu Taman Saujana Utama, Bukit Cherakah dan Ladang Tuan Mee.
“Kebanyakan pengundi hari ini hadir mewakili PAS membantah tiga faktor utama bukan dari segi politik tapi pentadbiran,” kata Mohd Fakaruddin Ismail.
Fakaruddin yang juga timbalan yang dipertua Kuala Selangor berkata Saujana Utama dipindahkan ke Sungai Buloh akan menyukarkan penduduk berurusan dengan pihak berkuasa tempatan.
“Kita sebelum ini terletak di Majlis Daerah Kuala Selangor, dengan cukai tanah kita semua di bawah khidmat PBT Kuala Selangor.
“Kalau yang baru, ia akan ditukarkan ke bawah Majlis Bandaraya Shah Alam, akan jadi masalah sebab kita pembayar cukai utama di Kuala Selangor,” katanya. – 29 Disember, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Liyana Jamal · Ulasan