SELEPAS tindakan undang-undang yang diambil oleh sekumpulan ibu bapa di sebuah sekolah di Petaling Jaya, Program Dwibahasa atau Dual-Languange Program (DLP) di sekolah itu telah ditangguh pelaksanaannya.
S. Balachandran, jurucakap kepada 40 ibu bapa SJK (T) Vivekananda berkata kementerian sudah mengeluarkan pekeliling kepada ibu bapa pada 20 Disember lalu mengumumkan penangguhan DLP pada 2018.
“Juga ada satu lagi pekeliling dikeluarkan oleh guru besar sekolah pada 22 Disember mengatakan DLP dimansuhkan langsung. Kerana itu, kami keliru sama ada DLP ini dimansuhkan atau ditangguh,” katanya pada satu sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya semalam.
DLP diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan, sebahagian daripada gelombang kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (MEB) 2013-2025 yang menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantara dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah.
Tidak seperti PPSMI sebelum ini, DLP dilaksanakan secara sukarela.
“DLP di SJK (T) Vivekanada bermula pada 2017 untuk pelajar tahun satu dan empat. Memandangkan DLP akan dihentikan tahun depan, kami diberitahu yang sekolah itu pada 2018 hanya pelajar tahun dua dan lima akan meneruskan DLP,” katanya.
“Saman itu bermula pada Jun tahun ini apabila sebahagian ibu bapa takut yang DLP akan menghapuskan pengajaran dalam Bahasa Tamil. Kerana itulah mereka mahu menghapuskan terus DLP,” katanya.
Kes itu akan didengar pada tahun depan walaupun tarikh bicara masih belum ditetapkan lagi. Buat masa sekarang, penangguhan DLP hanya berlaku di sekolah itu.
Balachandran berkata sejak pelaksanaan DLP, jumlah pendaftaran pelajar telah meningkat.
“Pada 2017 sekolah mempunyai 120 orang pelajar tahun satu berbanding 2016 hanya 60 orang.
“Saya tahu jumlah ini kerana satu kelas maksimum ada 30 pelajar, tahun ini mereka ada empat kelas,” katanya.

Balachandran menambah yang beliau dan beberapa ibu bapa telah pergi ke Jabatan Pendidikan Negeri Selangor semalam untuk menyuarakan kekecewaan mereka.
“Bagaimanapun, pegawai memberitahu memandangkan ia sudah menjadi kes undang-undang, mereka tak boleh buat apa-apa,” katanya.
Walaupun DLP ditangguhkan, ibu bapa masih menghantar anak mereka ke sekolah itu berbanding berpindah ke sekolah lain yang mempunyai DLP.
“Sebabnya saya mahu anak lelaki saya bukan hanya belajar Bahasa Inggeris, tetapi juga belajar Tamil dan budaya India. Kerana itulah saya hantar dia ke sekolah Tamil,” kata G. Kalaiselvi, 34, seorang ibu kepada pelajar tahun dua pada tahun depan.
“Saya bukan hanya mahu anak perempuan saya boleh bercakap dengan baik tetapi ada kemahiran komunikasi yang lebih baik. Di sekolah Tamil, anak perempuan saya boleh belajar Bahasa Inggeris dan Tamil. Ibu bapa mana yang tak mahu?” kata R. Susthrah,37, ibu kepada seorang pelajar yang akan memasuki tahun satu pada sesi persekolahan akan datang.
“Berbeza dengan apa yang dikatakan ibu bapa yang menentang DLP, kami tak mahu hapuskan pembelajaran Tamil atau melupakan budaya kami. Ada terma Sains dan Matematik yang tidak boleh diajar dalam Bahasa Melayu atau Tamil,” kata S.Shamala, 32, yang menghantar anak lelaki dan perempuannya ke sekolah itu.
The Malaysian Insight masih menunggu kenyataan Kementerian Pendidikan sama ada kes perundangan ini akan memberi kesan kepada pelaksanaan DLP di seluruh negara.
Ketika diperkenalkan tahun lepas, hanya 300 sekolah melaksanakan DLP. Jumlah itu sudah meningkat empat kali ganda. Pada Jun tahun ini, 629 sekolah menengah dan 585 sekolah rendah menawarkan kelas DLP, atau sekitar 10% daripada jumlah sekolah di seluruh negara.
Sarawak mempunyai jumlah pelaksanaan DLP di sekolah paling banyak iaitu 187, diikuti Perak (161), Selangor (147), Negeri Sembilan (98) dan Kelantan (95). – 29 Disember, 2017.
Komen