APABILA Nor Azman Amat Kalam dapat tahu langkah terbaru kerajaan untuk murid sekolah menguasai Bahasa Inggeris tahun lalu, dia – seperti kebanyakan ibu bapa di Beranang, sebuah daerah pinggir bandar di Selangor, agak ragu-ragu malah menentang cadangan itu.
Masih berbekas dalam ingatan mereka bagaimana susahnya untuk anak-anak menyesuaikan diri dengan dasar pendidikan yang mati beragan, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam English atau PPSMI.

Tambah sulit, Program Dwibahasa atau Dual Language Progamme (DLP) ini tidak ubah sama seperti PPSMI. Beberapa kelas terpilih di sekolah yang juga terpilih menawarkan diri untuk menggunakan Bahasa Inggeris bagi pengajaran dan pembelajaran subjek matematik, sains dan teknologi maklumat dan komunikasi serta reka bentuk dan teknologi.
“Nampaknya kerajaan pi mai pi mai macam yo-yo, buat anak-anak kami macam tikus makmal,” kata Nor Azman, pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Bandar Tasek Kesuma di Beranang.
“Jadi apabila kami mula-mula dengar tentang DLP hampir semua orang ada perasaan yang negatif,” katanya, merujuk pada dasar baru itu yang diperkenalkan pada sesi persekolahan 2016 di sekolah terpilih.
Tetapi setahun kemudian, banyak ibu bapa sudah mula berubah fikiran, kata Nor Azman. Sekolah itu tidak mampu menangani peningkatan permintaan untuk kelas tambahan DLP.
Guru besar sekolah itu, Noridah Abdul Aziz berkata pihaknya tidak dapat memenuhi permintaan supaya kelas DLP ditambah kerana ia tidak cukup sumber dan guru yang bersedia untuk mengendalikannya.
“Ibu bapa datang berjumpa saya secara peribadi dan guru lain juga, melobi supaya dibuka kelas tambahan. Saya beritahu mereka kami tak mampu,” katanya.
Pengalaman setahun setengah SK Bandar Tasek Kesuma dengan DLP mewakili sentimen di serata negara terhadap dasar ini, yang sama seperti PPSMI, ibarat magnet yang menarik kritikan.
Aktivis berbahasa Melayu, Mandarin dan Tamil mendakwa DLP ini satu percubaan untuk menghidupkan semula PPSMI yang telah ditolak. Ada yang mendakwa ia satu percubaan untuk memperkenalkan semua sekolah aliran Bahasa Inggeris era penjajah.
Walaupun dicemuh, dasar itu sendiri semakin popular dalam kalangan ibu bapa dan guru.
“Sambutan daripada pihak sekolah dan ibu bapa sangat memberangsangkan,” kata Timbalan Menteri Pendidikan Chong Sin Woon kepada The Malaysian Insight.
Ketika ia dirintis pada 2016, hanya 300 buah sekolah harian yang mengadakan kelas DLP. Setahun kemudian, angka itu naik melompat empat kali lipat kepada 1,214 buah sekolah.
Setakat Jun tahun ini, 629 buah sekolah menengah dan 585 sekolah rendah melaksanakan program DLP, merangkumi kira-kira 10% daripada sekolah di serata negara.
Dua daripada lima negeri teratas dengan jumlah sekolah DLP terbanyak diketahui mempunyai daerah luar bandar yang luas. Sarawak negeri paling banyak dengan 187 sekolah DLP paling manakala Kelantan di tangga kelima dengan 95 sekolah.
Tiga negeri lain adalah Perak di tangga kedua dengan 161 buah sekolah, Selangor 147 dan Negeri Sembilan 98.
Tiada paksaan
Walaupun serupa dengan PPSMI, DLP ada satu ciri berbeza yang menurut pendukungnya kunci utama kenapa ia popular dalam kalangan ibu bapa dan sekolah – ia atas dasar sukarela.
Chong, timbalan menteri yang menguruskan hal ehwal sekolah, turut menafikan dakwaan ia satu percubaan untuk menyeludup PPSMI – yang pernah dilaksanakan di semua sekolah dan kemudian dibatalkan – masuk semula ke dalam sistem pendidikan ikut pintu belakang.
Ia juga bukan satu usaha menghidupkan semula sekolah aliran Inggeris.
Kelas DLP hanya boleh dilaksanakan di sekolah yang pentadbir, guru dan ibu bapanya sudah bersedia dan mahu pula melaksanakannya, kata Chong.
“Tidak ada elemen paksaan. Anak-anak ditawarkan tempat dalam kelas DLP tetapi ibu bapa mesti menandatangani surat kebenaran.”
Sekolah juga harus mencapai markah yang tinggi dalam Bahasa Melayu untuk layak melaksanakan DLP.

SK Bandar Tasek Kesuma merupakan antara sekolah luar bandar yang mencapai 95% dalam peperiksaan Bahasa Melayu, mempunyai cukup guru yang mahir berbahasa Inggeris serta mendapat sokongan daripada PIBG untuk menawarkan DLP, kata Noridah.
Pada 2016, sekolah itu dan PBIGnya bersetuju untuk jadi sebuah daripada lapan sekolah dalam daerah Hulu Langat yang akan melaksanakan DLP, dengan 84 murid sebagai murid perintis. Daerah itu ada 89 buah sekolah.
Chong berkata kementerian mengambil pendekatan berhati-hati dalam menangani program ini. Ia tidak mahu meluluskan lebih banyak kelas dan sekolah DLP tanpa memastikan ada sumber dan guru yang boleh menjamin kualitinya.
“Kami melatih lebih ramai guru supaya fasih dalam Bahasa Inggeris. Oleh sebab kita ada guru yang bertukar, kami tidak mahu ada kekurangan guru di sekolah yang melaksanakan DLP.”
Bagi meningkatkan jumlah guru yang layak mengendalikan DLP, kementerian menyediakan lebih banyak kursus mengajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris serta program latihan dalam talian bagi meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan guru.
Kementerian Pendidikan bagaimana pun tidak bercadang meluaskan DLP ke mata pelajaran lain seperti sejarah, pengajian moral, seni atau muzik. – 18 Ogos, 2017.
Komen