Kerajaan perlu perbaiki cara kesan kontak rapat, kata ahli Parlimen, doktor


Kerajaan perlu segera mempercepatkan proses pengesanan kontak kerana virus sudah menular dalam masyarakat, kata ahli Parlimen DAP Teo Nie Ching dan pengamal perubatan umum Dr Goh Aik Ping.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2021.

PUTRAJAYA perlu memperbaiki pengesanan kontak Covid-19 jika mahu mengatasi lonjakan kes, atau biarkan keadaan jadi lebih teruk, kata Teo Nie Ching hari ini.

Bekas timbalan menteri pendidikan dalam kenyataan bersama Dr Goh Aik Ping, seorang pengamal perubatan umum berkata, kerajaan perlu segera mempercepatkan proses pengesanan kontak kerana virus sudah menular dalam masyarakat.

“Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Nasional yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu secara drastik memperbaiki kaedah pengesanan kontak dari segi kepantasan dan segera kerana semakin ramai orang yang membawa virus itu sekarang.

“Kurangnya kecekapan dalam bidang ini akan menyebabkan penularan virus ke tahap di mana kita tidak dapat mengawalnya,” kata ahli Parlimen Kulai itu, sambil menambah, langkah lewat akan menjadikan usaha dan disiplin Malaysia semasa Perintah Kawalan Pergerakan pertama (PKP) sebagai sia-sia sahaja.

Malaysia mencatat lebih daripada 5,000 kes harian dalam tiga hari terakhir ini dengan Selangor menyumbang kes tertinggi antara negeri dalam tiga hari itu.

Teo dan Dr Goh turut memberikan beberapa cadangan untuk memperbaiki keadaan.

Mereka berkata kerajaan perlu melaksanakan ujian Covid-19 yang luas menggunakan RTK-Antigen bagi mereka yang bergejala, yang tinggal di kawasan yang terdedah, golongan usia yang terdedah, dan juga mereka yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif.

Mereka menambah, semua kontak rapat perlu dianggap sebagai pesakit positif sehingga terbukti sebaliknya dan mereka perlu menjalani kuarantin di rumah serta membuat ujian saringan Covid-19.

“Rawatan segera harus diberikan kepada pesakit dengan gejala ringan jika RTK-Antigen menunjukkan hasil positif, dan kemudian mengesahkan kembali dengan ujian tindak balas berantai polimerase (PCR),” kata mereka berdua.

Teo dan Dr Goh juga berkata, pengamal perubatan umum (GP) perlu dibenarkan untuk merawat dan mengikuti lanjut pesakit Covid-19 yang menunjukkan gejala ringan.

Mereka berkata GP juga harus diberi kuasa untuk mengeluarkan arahan kuarantin/ Perintah Pengawasan Rumah (HSO).

Ini dapat dicapai dengan mudah melalui pangkalan data dan sistem kebangsaan yang diselaraskan, yang akan memungkinkan semua GP sentiasa mengemas kini data pesakit, keadaan kesihatan, status kuarantin dan hal discaj dalam sistem, selain menambah kegagalan untuk melapor perlu dikenakan denda, kata mereka.

Mereka juga berkata kerajaan boleh mengerahkan pasukan keselamatan untuk membantu pencarian kontak rapat dan memeriksa kepatuhan HSO dengan membuat panggilan dan pesanan mesej.

Menurut pekeliling Kementerian Kesihatan bertarikh 13 Januari, ujian hanya akan dilakukan kepada individu bergejala yang telah dikenal pasti sebagai kontak rapat kes positif.

Sampel yang diambil akan berdasarkan ukuran kelompok, iaitu jumlah individu yang terdedah kepada kes positif.

Surat pekeliling itu menyebut, memadai untuk mengambil 20 sampel sekiranya jumlah individu yang terdedah dalam sesuatu kelompok kurang daripada 50 orang.

Ahli Parlimen DAP dan Dr Goh mencadangkan, ketika pandemik, kerajaan perlu memastikan semua Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) beroperasi tujuh hari seminggu, dan talian kecemasan 24 jam selain memperbaiki pejabat kesihatan daerah.

Mereka menggesa kerajaan mengadakan pemilihan ketat keberkesanan vaksin Covid-19 dan mengendalikan proses imunisasi dan memberitahu progses itu kepada masyarakat awam dari masa ke semasa. – 1 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen