MAHKAMAH Perusahaan memutuskan untuk menyebelahi 12 bekas pekerja Movie Animation Park Studios (MAPS) di Perak yang mencabar syarikat tersebut kerana memecat mereka.
Pengerusi mahkamah Rasidah Chik memutuskan Animation Theme Park Sdn Bhd, syarikat di belakang MAPS, perlu membayar pampasan sebanyak RM910,310 kepada 12 bekas pekerja itu.
Taman tema yang sebahagiannya dimiliki oleh kerajaan negeri, berhenti beroperasi pada 28 Januari 2020. Taman tema itu digelar sebagai taman tema animasi pertama di Asia.
Dalam penghakiman 21 Januari yang diikuti The Malaysian Insight, Rasidah memutuskan award itu terdiri daripada gaji tertangguh lapan bulan dan pampasan pengembalian semula.
Pekerja terbabit dimaklumkan pada 26 Ogos, 2019 mengenai pemberhentian mereka yang berkuat kuasa pada keesokan harinya.
Dalam surat penamatan, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Mohamed Shafeii Abdul Gaffoor berkata pekerja akan diberi gaji satu bulan pembayaran sebagai ganti notis tersebut.
Mereka juga diberitahu bahawa mereka tidak lagi diminta untuk menghadiri urusan operasi MAPS dan diminta segera mengosongkan pejabat setelah menyelesaikan proses keluar dengan jabatan sumber manusia.
12 pekerja itu diwakili oleh Addrie Soo dari firma guaman Gibb & Co dan Kingsley Wambeck dari Kingsley & Co.
Rasidah berkata wakil syarikat tidak pernah menghadiri mana-mana perbicaraan walaupun beberapa notis diberikan.
“Ketika sesi pendengaran kes itu disebut pada 11 Ogos, 2020 wakil syarikat masih tidak hadir di mahkamah. Malah, syarikat itu tidak mengemukakan kenyataan jawab,” kata Rasidah.
Sehubungan itu katanya, peguam plaintif meminta prosiding secara ex-parte.
Perak Corp milik kerajaan negeri itu menguasai 51% saham Animation Theme Park melalui anak syarikat milik penuhnya, PCB Development.
Bagaimanapun, syarikat itu dimasukkan di bawah penerimaan pada 4 Disember, 2019.
Taman tema itu berhenti beroperasi pada 28 Januari, 2020.
Ia mempunyai lebih 40 tarikan termasuk 23 ciri interaktif dan 15 permainan di enam zon bertema.
Taman tema di Ipoh ini dibina dengan kos RM520 juta.
Perak Corp dalam pemfailan kepada bursa pada Oktober 2019 berkata, PCB Development gagal membayar balik prinsipal untuk kemudahan pinjaman sehingga RM280 juta.
Pembiayaan itu daripada Affin Hwang Investment Bank Bhd, Affin Bank Bhd, Bank Pembangunan Malaysia Bhd dan Malaysia Debt Ventures Bhd. – 31 Januari, 2021.
Komen