PENSYARAH Dr Faizal Musa menyeru masyarakat pembaca menyatakan bantahan ke atas tindakan pengharaman buku yang semakin galak dilakukan kerajaan menerusi pilihan di kertas undi.
Beliau yang popular dengan nama pena Faisal Tehrani itu berkata, masyarakat perlu menolak “gejala pengongkongan yang agam” itu melalui pilihan yang ada.
Tegasnya, golongan pembaca perlu bertindak kerana pengharaman buku bukan sahaja menyekat pengarang untuk berkarya malah mengongkong kebebasan pembaca untuk memilih.
“Pihak yang mengharamkan ini tak pertimbang langsung hak orang lain iaitu pembaca, untuk berfikir, menafsir sendiri.
“Yang mengejutkan ialah pihak yang mengharamkan rasa hak dan tafsiran mereka yang benar lantas memaksakan ke atas orang lain,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Mengulas lanjut, beliau berkata masyarakat pembaca adalah lebih ramai dari pengarang dan golongan ini juga merupakan pengundi yang berdaftar dalam pilihan raya.
“Pembaca adalah pengundi. Pembaca juga boleh jadi penulis iaitu mencoret di atas kertas undi pada tahun 2018 kelak,” katanya lagi, menjelaskan pilihan yang ada di tangan golongan ini.
Tambahnya, pembaca juga boleh menggerakkan bantahan itu melalui kelab pembaca dan di saluran media sosial
“Ada banyak kelab berasaskan buku seperti Buku Jalanan dan mereka berpengaruh, pembaca mesti mulakan,” katanya.
Beliau menjangka, bantahan tersebut juga akan dapat dinyatakan oleh para pengarang yang sebelum ini tidak bersuara dalam isu pengharaman buku.
Jelasnya, perkara itu dapat dilihat apabila ramai pengarang muncul menyatakan penghargaan kepada Sasterawan Negara, Allahyarham Shahnon Ahmad yang meninggal dunia pada hari Selasa lalu.
“Bila Shahnon dah meninggal barulah ada pengarang hendak tolong bidas (tuduhan yang dilemparkan ke atas sasterawan itu sebelum ini) dan memuja beliau sebagai sasterawan yang nonkompromi,” katanya yang juga anak murid tokoh sasterawan itu.
Kenyataannya itu sebagai mengulas tindakan terbaharu kerajaan mengharamkan tiga judul buku, termasuk tulisan bekas menteri Umno, Zaid Ibrahim dan aktivis muda Benz Ali.
Buku Zaid yang diharamkan bertajuk Assalamualaikum: Observations on the Islamisation of Malaysia terbitan 2015 oleh ZI Publications manakala tulisan Benz Ali bertajuk Antithesis terbitan Dubook tahun 2014.
Sebuah lagi buku yang baharu diharamkan berjudul Agama Masa Depan: Perspektif Filsafat Perennial tulisan profesor Komaruddin Hidayat dan Muhamad Wahyuni Nafis, diterbitkan syarikat Indonesia, Paramadina pada 1995.
Pada Ogos lalu, penulis Faisal Tehrani menyelar tindakan kerajaan mengharamkan buku sebagai satu pengkhianatan kepada Perisytiharan Kemerdekaan 1957 dan menyifatkannya sebagai satu bentuk “keganasan.”
Katanya, pengharaman buku merupakan simptom sebuah perlembagaan yang gagal melindungi hak asasi dan kebebasan yang sepatutnya dijamin oleh dokumen kenegaraan itu.
“Pengharaman buku di Malaysia, antara lain, merupakan tanda kebangkitan ekstremisme sejagat yang menyekat dan mencabut hak-hak rakyat. Ia satu lagi bentuk keganasan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Festival Sastera Asean ke-4 di Jakarta, Ogos lalu.
Pada Oktober, buku Faisal bertajuk “Aku ____, Maka Aku Ada!” turut diharamkan oleh KDN menjadikan beliau sebagai pengarang kontemporari yang paling banyak diharamkan iaitu tujuh naskhah.
Novelnya berjudul Perempuan Nan Bercinta yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Najib Razak pada 2012 diharamkan dua tahun selepas itu.
Lima novel lainnya termasuk Karbala dan Sebongkah Batu di Kuala Berang diharamkan pada 2015 dan 2016 atas dakwaan menyebarkan fahaman Syiah. – 28 Disember, 2017.
Komen