12 kluster baharu dikenal pasti, 10 berkaitan tempat kerja


Ravin Palanisamy

Kementerian Kesihatan hari ini mengenal pasti 12 kluster baharu Covid-19 dengan 10 kluster melibatkan tempat kerja. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 29 Januari, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan hari ini mengenal pasti 12 kluster baharu Covid-19 dengan 10 kluster melibatkan tempat kerja, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata Johor melaporkan jumlah kluster tempat kerja tertinggi iaitu sebanyak lima kluster dikesan diikuti Selangor dan Kuala Lumpur sebanyak dua kluster dan Sabah sebanyak satu kluster.

Dua kluster lain yang dikenal pasti hari ini adalah berkaitan komuniti serta dikesan di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya sebanyak 319 kes dilaporkan daripada 12 kluster di mana 10 kluster yang berkaitan dengan tempat kerja menyumbang sebanyak 266 kes. 

Kluster tempat kerja pertama yang dilaporkan hari ini adalah Persiaran Subang yang merebak di daerah Klang dan Petaling.

Beliau berkata kluster ini melibatkan sebuah kilang dan sehingga kini, 509 sudah disaring, 16 daripadanya diuji positif Covid-19.

Noor Hisham berkata kluster tempat kerja kedua adalah Indah Industry yang dikesan di sebuah kilang di daerah Klang.

Sehingga hari ini, 87 orang disaring dan 47 orang disahkan positif.

Noor Hisham berkata kluster tapak pembinaan Jalan Klang adalah kluster tempat kerja ketiga yang dikesan di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Daripada 370 individu yang disaring dari kluster ini, 50 disahkan positif.

Menurutnya kluster tapak pembinaan Jalan Vistan adalah kluster tempat kerja lain yang dikesan di Kuala Lumpur melibatkan daerah Cheras.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata seramai 494 orang diperiksa dan sehingga kini seramai 47 disahkan positif.

Katanya kluster tempat kerja kelima dan satu-satunya di Sabah melibatkan kakitangan di pusat pentadbiran awam.

Seramai 80 individu disaring dan 12 orang positif Covid-19.

Noor Hisham berkata kluster tempat kerja keenam dan yang pertama di Johor adalah Jalan Kota Burok, kluster yang dikesan di Muar, Johor.

Beliau berkata seramai 51 orang disaring di kluster ini yang melibatkan pekerja kilang dan 30 daripadanya diuji positif Covid-19.

Katanya kluster berikutnya yang dikenal pasti di Segamat, Johor adalah Jalan By Pass.

Noor Hisham berkata seramai 103 orang disaring dan 23 orang disahkan positif.

Katanya kluster Jalan Bistari Dua dikesan di Johor Bahru, Johor.

Kluster ini melibatkan kilang di Skudai dan sehingga hari ini seramai 17 daripada 55 yang disaring positif Covid19.

Noor Hisham berkata kluster tempat kerja kesembilan adalah Jalan Empayar yang melibatkan sebuah kilang di Johor Bahru, Johor.

Daripada 74 yang disaring, seramai 18 disahkan positif.  – 29 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen