TINDAKAN Putrajaya mengharamkan buku tidak ubah seperti membantai penulis, kata pengarang dan pensyarah Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama penanya, Faisal Tehrani.
Selepas tujuh bukunya diharamkan oleh kerajaan, Faizal berkata beliau cukup memahami kesan tindakan kerajaan itu ke atas penulis.
Selain rugi besar kerana tiada kedai mahu menjual hasil karya yang disekat undang-undang, Faizal berkata pengharaman kerajaan itu menjarakkan dirinya dengan pembaca.
Malah beliau juga dipandang serong oleh kelompok penulis seangkatan, kata penerima Anugerah Seni Negara 2006 itu.
“Ia menjauhkan pembaca. Kedai buku tak mahu jual… dan ada persepsi di kalangan pelajar, pensyarah dan elitis sastera terhadap saya.
“Jadi memang besar (kesannya)... seolah-olah label penggugat kestabilan awam itu benar. Padahal pembaca yang membaca rata-rata beri ulasan berbeza dari alasan pengharaman,” kata Faizal kepada The Malaysian Insight, mengulas tindakan terbaru kerajaan mengharamkan buku bulan ini.
Faizal sebelum ini menyifatkan tindakan kerajaan mengharamkan buku sebagai pengkhianatan terhadap janji Merdeka yang termaktub dalam Perisytiharan Kemerdekaan 1957. Tindakan itu, katanya, satu bentuk “keganasan”.
Antara buku Faizal yang dikenakan tindakan ialah novel Perempuan Nan Bercinta, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Najib Razak pada 2012 tetapi diharamkan dua tahun selepas itu.
Lima novel lainnya termasuk Karbala dan Sebongkah Batu di Kuala Berang diharamkan pada 2015 dan 2016 atas dakwaan menyebarkan fahaman Syiah.

Pada Oktober lepas, KDN mengharamkan buku Faisal yang ketujuh bertajuk “Aku ____, Maka Aku Ada!” terbitan Dubook Press Sdn Bhd pada 2015.
Setelah tujuh buku kena haram, Faisal berkata beliau tidak yakin akan terlepas lagi daripada tindakan yang sama pada masa akan datang.
“Bila saudara kena pukul tujuh kali. Apa jaminan tak dipukul lagi untuk kali kelapan?
“Itu sebab saya minta tolong masyarakat pembaca… kalau orang kena pukul, takkan orang lain tengok saja,” ujarnya.
Faizal menggesa pembaca menyatakan bantahan terhadap pengharaman buku melalui peti undi pada pilihan raya umum yang akan datang.
Beliau juga bimbang novel terbarunya, Profesor, yang mengangkat subjek tabu mengenai hak lesbian, gay, biseksual dan transgender akan mengalami nasib sama – diharamkan.
“Sudah tujuh judul kena haram. Jadi keyakinan saya sebagai manusia pun tergugat sebab ada manusia lain yang berkuasa menentukan kenyataan dan hak saya,” katanya.
Novel terbitan penerbit popular Fixi itu dilancarkan di Festival Sastera George Town di Pulau Pinang, sebulan yang lalu.
Faizal adalah menerima Anugerah Seni Negara pada 2006, dan kini bertugas sebagai Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
Dalam warta Kementerian Dalam Negeri yang baru dikeluarkan minggu ini, sekurang-kurangnya tiga judul buku diharamkan termasuk tulisan bekas menteri Umno, Zaid Ibrahim dan aktivis muda Benz Ali.
Buku Zaid yang diharamkan bertajuk Assalamualaikum: Observations on the Islamisation of Malaysia terbitan 2015 oleh ZI Publications manakala tulisan Benz Ali bertajuk Antithesis terbitan Dubook tahun 2014.
Sebuah lagi buku yang baru diharamkan berjudul Agama Masa Depan: Perspektif Filsafat Perennial tulisan profesor Komaruddin Hidayat dan Muhamad Wahyuni Nafis, diterbitkan syarikat Indonesia, Paramadina pada 1995. – 29 Disember, 2017.
Komen