Novel baru Faisal Tehrani kupas isu LGBT


Low Han Shaun

Tujuh buku yang dihasilkan penulis prolifik Faisal Tehrani sebelum ini diharamkan oleh kerajaan Malaysia.– Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 27 November, 2017.

PENULIS prolifik, Faisal Tehrani muncul dengan novel terbarunya yang mengangkat kisah seorang profesor feminis yang lesbian yang berjuang menyebarkan kesedaran mengenai hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam masyarakat Melayu.

Novel bertajuk Profesor itu diterbitkan oleh Fixi dan dilancarkan pada Festival Sastera George Town di Pulau Pinang, semalam.

Faisal, yang tujuh bukunya sebelum ini diharamkan oleh kerajaan Malaysia, berharap novel barunya itu akan mendedahkan kepada pembaca betapa masyarakat Melayu sejak sekian lama menerima mereka yang berlainan kecenderungan seksual.

“Harapan saya ialah buku ini akan mencabar kepercayaan bahawa orang Melayu dan budaya Melayu tidak mempunyai kefahaman tentang hak asasi manusia,” kata Faisal atau nama sebenarnya Faizal Musa.

Profesor mengisahkan tentang Suliza, seorang profesor feminis yang lesbian, yang menyedari kecederungan seksualnya ketika menuntut di sebuah madrasah di Kelantan.

Dia kemudian menyambung pengajian ke Amerika Syarikat dan menjadi sasaran kumpulan konservatif kerna menyelidik dan memperjuangkan hak asasi manusia LGBT.

Menurut Faisal, walaupun watak dalam novelnya itu fiksyen, mereka dipadankan daripada kisah benar dan orang tertentu.

Novel ini sudah lama “dinanti-nantikan” kerana beliau gemar mengangkat kisah kelompok minoriti di Malaysia.

“Kita ada banyak kumpulan minoriti yang dipinggirkan. Misalnya, kita menindas kumpulan minoriti penganut Syiah,” kata pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini.

“Kita juga ada orang asal di Sarawak yang berdepan dengan pencerobohan ke atas tanah adat dan pencabulan hak-hak mereka,” katanya.

Novelnya sebelum ini Bagaimana Anyss Naik Ke Langit merakamkan secebis kisah penderitaan masyarakat Penan di Sarawak yang berdepan dengan pelbagai masalah termasuk pembukaan hutan untuk kayu balak dan pelecehan seksual oleh pembalak.

“Saya rasa mustahak untuk kita ketengahkan isu-isu ini dan bercakap mengenainya, daripada kita sorok-sorokkan.

“Kita perlu terbuka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Saya belum pernah menulis tentang kelompok LGBT, dan itu juga satu sebab kenapa saya tulis novel ini.”

Tujuh buah buku Faisal sebelum ini yang diharamkan termasuk Aku______, Maka Aku Ada!” terbitan Dubook Press Sdn Bhd, yang diharamkan dengan alasan “mencetuskan keresahan dalam kalangan orang ramai” dan “menggugat kepentingan awam”.

Dalam satu ucapan membuka Festival Sastera Asean ke-4 di Jakarta pada Ogos lalu, Faisal menyifatkan tindakan kerajaan mengharamkan buku adalah pengkhianatan kepada janji Merdeka yang terkandung dalam Perisytiharan Kemerdekaan 1957.

Buku-bukunya yang lain yang diharamkan termasuk “Sebongkah Batu di Kuala Berang”, “Karbala” and “Ingin Jadi Nasrallah”.

Novel Profesor dicetak hanya 1,500 naskah dan kemudian akan diterbitkan dalam edisi digital.– 27 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen