Hanya bincang usaha turun kes Covid-19, bukan PKP lebih ketat, kata wakil mesyuarat


PKP dilaksanakan bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan penduduk. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Mac, 2020.

PERTEMUAN antara Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah-Malaysia (EuroCham Malaysia) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) baru-baru ini tidak membincangkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) secara penuh, kata salah seorang pesertanya.

Peserta yang enggan dinamakan itu memberitahu The Malaysian Insight bahawa mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan usaha menurunkan kadar jangkitan Covid-19 terutamanya dalam sektor perkilangan.

“Disebabkan kluster perkilangan meningkat, kami diminta memainkan peranan lebih tegas dan perlu melakukannya sebelum 4 Februari.

“Difahamkan bahawa Kementerian Kesihatan mungkin akan menasihati kerajaan untuk melaksanakan PKP lebih ketat jika jumlah kes terus meningkat.

“MITI tidak menyatakan bahawa kerajaan merancang atau mengambil keputusan untuk melakukan PKP lebih ketat. Ini yang saya faham daripada pertemuan itu,” katanya.

Awal hari ini, beberapa laporan mendakwa Putrajaya mempertimbangkan langkah untuk menutup semua sektor ekonomi jika kadar kes jangkitan gagal turun selepas 4 Februari.

“Sekiranya kadar jangkitan tidak menurun, kerajaan Malaysia akan mengumumkan penutupan/sekatan serta merta selepas 4 Februari, 2021. Ini situasi yang sedang kita hadapi dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) merayu semua syarikat, antarabangsa dan tempatan, untuk sama-sama menyertai usaha memecahkan rantaian jangkitan bagi memastikan ekonomi terus berjalan,” menurut sepucuk surat EuroCham Malaysia kepada ahlinya.

Surat yang dilihat The Malaysian Insight itu, merupakan butiran ringkas pertemuan Ketua Pegawai Eksekutif Eurocham Malaysia  Sven Schneider bersama Miti pada 22 Januari.

Ia turut menyebut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) “telah membuat pendirian jelas berhubung penutupan sepenuhnya sektor ekonomi”.

Wakil mesyuarat itu berkata pertemuan itu lebih kepada membangkitkan isu peningkatan kes dalam kalangan syarikat syarikat dan perniagaan perkilangan serta pembuatan.

“Perbincangan ini mencari tindakan dan cadangan yang diperlukan industri untuk membantu menangani isu itu secepat mungkin.  – 24 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen