PUTRAJAYA sedang mempertimbangkan untuk menutup seluruh sektor ekonomi sekiranya kadar jangkitan Covid-19 di negara ini tidak menurun selepas 4 Februari, kata Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah-Malaysia (EuroCham Malaysia) dalam surat kepada ahlinya.
“Sekiranya kadar jangkitan tidak menurun, kerajaan Malaysia akan mengumumkan penutupan/sekatan serta merta selepas 4 Februari, 2021. Ini situasi yang sedang kita hadapi dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) merayu semua syarikat, antarabangsa dan tempatan, untuk sama-sama menyertai usaha memecahkan rantaian jangkitan bagi memastikan ekonomi terus berjalan,” menurut surat itu.
Surat yang dilihat The Malaysian Insight itu, merupakan butiran ringkas pertemuan Ketua Pegawai Eksekutif Eurocham Malaysia Sven Schneider bersama Miti pada 22 Januari.
Ia turut menyebut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) “telah membuat pendirian jelas berhubung penutupan sepenuhnya sektor ekonomi”.
“Dengan 99 kluster Covid-19 yang mempunyai kaitan dengan lebih 300 kilang di seluruh negara, KKM percaya sektor pembuatan merupakan punca utama jangkitan,” tambah surat itu.
Surat berkenaan turut menyatakan Miti telah membincangkan beberapa langkah untuk mengurangkan jangkitan dan memecahkan rantaian jangkitan virus bersama dewan perniagaan.
“Tugaskan sekurang-kurangnya seorang pegawai sumber manusia untuk menguruskan dan mengkoordinasi pekerja asing atau pekerja yang tinggal di asrama. Kunci utama di sini adalah untuk mengurangkan pergerakan komuniti, aktiviti sosial dan pematuhan SOP PKP.”
“Syarikat diminta untuk turut sama mengambil tanggungjawab dalam kes pengurusan pekerja atau penempatan yang diberikan kepada agensi pekerjaan dan mewujudkan ruang kuarantin asas di asrama mereka,” kata Eurocham merujuk kepada beberapa langkah yang dibincangkan.
Malaysia mengesan kluster Covid-19 yang tinggi melibatkan tempat kerja. Hari ini lapan lagi kluster baharu dilaporkan.
Negara turut merekodkan jumlah kes jangkitan tertinggi dalam tempoh sehari iaitu 4,275, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 180,455 dan kes aktif 42,769.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdulah berkata peningkatan jumlah kluster Covid-19 melibatkan tempat kerja membimbangkan.
Kebanyakannya melibatkan kilang, diikuti tapak pembinaan, katanya pada Sabtu.
Menurutnya, setakat Jumaat 350 kluster baharu dikesan dan daripada jumlah itu, 225 atau 64.3% melibatkan tempat kerja. – 24 Januari, 2021.
Komen