Najib mahu kerajaan laksana PKP ketat selama 2 minggu


Najib Razak mempersoalkan logik kerajaan membenarkan sektor tertentu beroperasi semasa PKP 2.0. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Januari, 2021.

BEKAS perdana menteri Najib Razak mahu Putrajaya memperkenalkan perintah kawalan pergerakan (PKP) paling ketat sekurang-kurangnya dua minggu berikutan lonjakan jumlah kluster Covid-19 yang melibatkan tempat kerja.

Najib berkata, langkah semasa tidak membantu dan mempersoalkan logik kerajaan membenarkan sektor tertentu beroperasi di bawah PKP 2.0.

“Dari awal PKP lagi kita dah kata: Sektor-sektor yang menyumbang bahagian terbesar kes Covid gelombang ke-3 sehingga PKP 2.0 dan darurat terpaksa dilaksanakan ialah sektor pembuatan dan pembinaan.

“Tapi sektor yang dibenarkan terus beroperasi dalam PKP 2.0 juga adalah sektor pembuatan dan pembinaan.”

“Sebab itu, buatlah PKP 2.0 yang paling ketat tanpa kelonggaran untuk 2 minggu.

“Jangan buat PKP setengah masak yang sudah pasti akan dilanjut berkali-kali,” katanya dalam catatan di Facebook.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan kebimbangannya terhadap lonjakan kes di tempat kerja.

Katanya dari 6 Januari hingga semalam, sejumlah 350 kluster baharu dilaporkan dan 225 atau 64.3% daripadanya dikaitkan dengan tempat kerja.

“Kluster berkaitan perkilangan mencatat jumlah kluster tertinggi dengan 80 kluster, diikuti dengan kluste berkaitan pembinaan dengan 53 kluster dan kluster berkaitan perkhidmatan dengan 31 kluster,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan Covid-19 semalam.

Malaysia mengesan sejumlah besar kumpulan Covid-19 yang melibatkan tempat kerja. Pada Sabtu lapan lagi dilaporkan, daripada 11 kluster baharu.

Negara juga mencatatkan jumlah jangkitan baharu tertinggi dalam sehari sebanyak 4,275, menjadikan jumlah keseluruhan kepada180,455 dan 42,769 kes aktif.

Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) memberi amaran kepada ahlinya yang Putrajaya sedang mempertimbangkan untuk menutup semua sektor ekonomi jika kadar jangkitan Covid-19 gagal menunjukkan penurunan selepas 4 Februari.

“Jika angka jangkitan tidak turun, kerajaan Malaysia akan mengumumkan penutupan/pengurungan ketat segera selepas 4 Februari 2021. Ini adalah situasi terkini yang kita hadapi dan Kementerian Perdagangan Internasional dan Industri (Miti), menggesa semua perusahaan, asing dan tempatan, untuk bergabung dalam usaha mengurangkan jangkitan, memutuskan rantaian, bagi memastikan ekonomi dibuka untuk perniagaan,” menurut surat itu. – 24 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen