KERAJAAN perlu meningkatkan dana untuk melaksanakan sepenuhnya ujian, pengesanan dan rawatan (3T) kontak rapat kes Covid-19, kata parti pembangkang DAP.
Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng berkata mungkin ada “puluhan ribu” kontak rapat yang tidak dijejaki sekarang apabila Kementerian Kesihatan kini hanya menguji mereka yang menunjukkan gejala.
“Kerajaan Perikatan Nasional perlu menggandakan atau melipatgandakan dana yang dibelanjakan untuk sepenuhnya ujian, pengesanan dan rawatan 3T untuk memastikan semua kontak rapat pesakit Covid-19 menjalani ujian saringan penuh.
“Kerana salah pengurusan pandemik dan kekurangan sumber daya serta tenaga kerja oleh kerajaan PN, ada sekitar puluhan ribu kontak rapat pesakit Covid-19 yang tidak dijejaki,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pelaksanaan sepenuhnya 3T adalah kaedah yang paling berkesan untuk membendung penyebaran virus.
“Saintis di Amerika Syarikat mengenal pasti bahawa jangkitan daripada individu tanpa gejala boleh menyumbang 59% dari semua penularan Covid-19. Ini dapat dilihat di Hospital Pulau Pinang dengan peningkatan jumlah pesakit Covid-19 melibatkan warga emas yang dijangkiti oleh ahli keluarga mereka lebih muda, di mana ada yang tidak mengalami gejala.
“Jelas menteri Kabinet perlu bangun dan melakukan tugas mereka untuk memberikan sokongan penuh dari segi peralatan serta tenaga kerja untuk petugas barisan hadapan dalam melawan Covid-19,” katanya.
The Malaysian Insight hari ini melaporkan kebimbangan pakar kesihatan mengenai protokol baharu KKM sejak 13 Januari untuk melakukan pemeriksaan Covid-19 hanya untuk kontak rapat bergejala sahaja.
Kontak rapat tanpa gejala hanya perlu mengasingkan diri di rumah selama 10 hari tanpa melakukan ujian.
Pakar kesihatan telah memberi amaran bahawa langkah ini akan menyebabkan penyebaran virus dan mendesak untuk melakukan lebih banyak ujian saringan.
Desakan itu dibuat selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan Malaysia mengekalkan kadar positif di atas 5% untuk ujian koronavirus sejak 6 November.
Kadar positif 5% di atas bermaksud terdapat lebih banyak jangkitan Covid-19 daripada jumlah sebenar yang dilaporkan dan lebih tinggi dari kadar yang disyorkan WHO di bawah 5% yang menunjukkan bahawa wabak ini sedang terkawal. – 22 Januari, 2021.
Komen