Tidak uji pesakit tak bergejala punca penularan virus lebih meluas, kata pakar


Ragananthini Vethasalam

Kementerian Kesihatan Malaysia membuat keputusan untuk menjalankan ujian saringan hanya ke atas kontak rapat Covid-19 bergejala sahaja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2021.

KONTAK rapat tidak bergejala juga perlu menjalani ujian saringan Covid-19 untuk menghentikan penularan dalam komuniti, kata pakar perubatan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam pekeliling bertarikh 13 Januari menyatakan, hanya kontak rapat kes Covid-19 yang bergejala sahaja akan disaring.

Prof  Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud dari Universiti Malaya berkata ketika pihak berkuasa kesihatan menumpukan kepada kes bergejala, kontak tidak bergejala berpotensi untuk terus menyebarkan virus kerana mereka tidak sedar kontak mereka dijangkiti Covid-19.

Beliau berkata tidak semua individu yang disahkan positif Covid-19 akan memaklumkan kepada semua kontak mereka dan menasihatkan mereka untuk menjalani ujian saringan.

“Perkembangan ini agak malang dan menunjukkan kegagalan pihak berkuasa kesihatan untuk menguruskan pandemik dengan betul menyebabkan ia membawa kepada kegagalan pengesanan kontak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Terdapat bahaya apabila kontak tidak bergejala ini akan menyebabkan penularan terutamanya jika mereka tidak memakai pelitup muka, tidak mengamalkan penjarakan sosial dan penjagaan kebersihan diri.

“Sekiranya mereka mematuhi SOP, maka risikonya lebih rendah,” tambahnya.

Awang Bulgiba berkata tiada panduan yang jelas berhubung apa tu kontak dan bagaimana pergesanan dibuat agar orang ramai lebih berwaspada ketika berada di luar rumah.

“Orang ramai mungkin kurang waspada dengan persekitaran biasa bersama orang mereka kenali yang mana mereka tersilap apabila memikirkan tidak mungkin akan dijangkiti daripada kontak ini,” katanya.

“Perkara ini tidak terlalu ditekankan dalam garis panduan dan sering dilihat apabila orang ramai tidak mematuhi SOP di tempat kerja, ketika mengunjungi rumah saudara-mara dan ketika bertemu rakan,” katanya.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Dr Zainal Ariffin Omar berkata apabila dasar tiada ujian saringan kepada kontak rapat tidak bergejala mungkin akan mengurangkan jumlah kes yang dikesan, ia akan menyebabkan penularan yang lebih meluas.

Katanya ujian saringan penting kerana ia dapat mengurangkan kemungkinan jangkitan daripada kes tidak bergejala atau separa gejala.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Subramaniam Muniandy berkata pihak berkuasa kesihatan tidak boleh mengambil risiko dan perlu melakukan ujian ke atas semua kontak rapat.

“Jika sumber kerajaan terhad, KKM perlu bekerjasama dengan pengamal perubatan swasta untuk membantu mengesan kontak rapat dan menjalankan ujian saringan ke atas kontak rapat. 7,000 pengamal perubatan terlatih KKM berada di seluruh negara dan rapat dengan masyarakat,” katanya.

Dilaporkan bahawa di Selangor sahaja, kira-kira 6,000 kontak rapat tidak dapat dikesan kerana langkah baru ini. – 22 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen