Guan Eng disiasat berhubung kenyataan ganggu ketenteraman


Ravin Palanisamy

Pemimpin DAP itu berkata bahawa beliau  disiasat di bawah Seksyen 504 dan 505C Kanun Keseksaan kerana didakwa menganggu ketenteraman awam melalui penghinaan yang disengajakan dan membuat kenyataan dengan niat menghasut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2021.

BEKAS menteri kewangan Lim Guan Eng hari ini mengesahkan bahawa beliau disiasat polis susulan kenyataan awam yang dibuat pada tahun 2019 semasa beliau dalam kerajaan .

Pemimpin DAP itu berkata bahawa beliau  disiasat di bawah Seksyen 504 dan 505C Kanun Keseksaan kerana didakwa menganggu ketenteraman awam melalui penghinaan yang disengajakan dan membuat kenyataan dengan niat menghasut.

Seksyen 504 dalam Kanun Keseksaan meliputi penghinaan yang disengajakan dengan niat untuk memprovokasi dan menganggu keamanan.

Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan adalah pula meliputi kenyataan yang dibuat dengan niat untuk menghasut mana-mana kelas atau komuniti orang untuk melakukan kesalahan terhadap kelas atau komuniti orang lain.

“Polis sedang menyiasat dua kenyataan awam yang dibuat oleh saya pada 2019, ketika saya masih berada dalam kerajaan. 

“Polis memaklumkan saya bahawa saya sedang disiasat di bawah Seksyen 504 dan 505C Kanun Keseksaan,” kata Ahli Parlimen Bagan dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Lim dipanggil ke ibu pejabat polis daerah timur laut di George Town hari ini untuk siasatan berhubung kenyataan yang dibuat pada tahun 2019.

Setiausaha Agung DAP itu mempersoalkan mengapa beliau dipanggil untuk memberikan kenyataannya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Diiringi peguam R.S.N. Rayer dan Ramkarpal Singh, Lim tiba di ibu pejabat polis kira-kira pukul 2.30 petang dan dibenarkan pulang dua jam kemudian.

Walaupun PKP dan Darurat sedang dilaksanakan, Lim berkata bahawa beliau memberikan kerjasama sepenuhnya semasa siasatan.

Lim berkata, ketika polis menyiasat beliau atas kenyataan yang dibuat pada tahun 2019, polis juga boleh melakukan siasatan yang sama terhadap beberapa pemimpin PAS dan Perikatan Nasional.

“Saya berharap polis juga akan merekod kenyataan pemimpin-pemimpin PAS dan Perikatan Nasional (PN) dengan cara yang sama semasa tempoh ini. 

“Banyak laporan polis telah dibuat terhadap mereka kerana mengeluarkan ungkapan berbaur perkauman dan pelampau agama. Namun, tiada sebarang perkembangan terhadap status laporan-laporan polis tersebut,” kata ahli Parlimen Bagan itu.

Berhubung siasatan yang dijalankan sepanjang PKP, Lim berkata ia menunjukkan tidak ada alasan untuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggantung Parlimen.

Dia mengatakan bahawa Parlimen di Malaysia telah bersidang tanpa sekatan selama empat pengisytiharan Darurat sebelumnya.

“Jika polis boleh bertekad untuk merekod kenyataan saya semasa PKP dan tempoh Darurat, maka lebih banyak alasan lagi untuk membenarkan sidang Parlimen berfungsi secara biasa. 

“Tiada sebab untuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menggantung Parlimen dan melarang Parlimen bersidang. 

“Parlimen telah berfungsi dengan normal dan bersidang pada setiap masa walaupun empat Pengisytiharan Darurat yang lama masih belum dimansuhkan. Perdana Menteri. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melakukan kesalahan menggantung Parlimen” tegasnya lagi. – 15 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen