PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa semula kerana prasarana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak lagi mampu menampung peningkatan kes Covid-19, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Katanya, peningkatan sehingga lebih 2,000 kes sehari pada masa ini menekan sistem kesihatan dan menyebabkannya hampir lumpuh.
“Pada ketika ini, fasiliti KKM sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,000 kes baharu setiap hari.
“Sistem kesihatan kita hampir lumpuh,” katanya sewaktu mengumumkan pelaksanaan PKP yang akan bermula semula pada Rabu secara berperingkat mengikut zon.
Oleh itu, kerajaan memutuskan pelaksanaan PKP bermula Rabu selepas mendengar keluhan dan cadangan pelbagai pihak, katanya.
“Kerajaan juga sangat memahami beban tugas yang dihadapi oleh petugas kesihatan kit berikutan peningkatan kes mendadak. Frontiners kita semakin penat dan kesihatan awam negara semakin tenat.”
Beliau memberi contoh, peningkatan kes menyebabkan kesemua katil untuk pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Malaya kini digunakan sepenuh.
Selain itu, penggunaan katil Covid-19 di 15 hospital Covid-19 pula lebih 70%, dan penggunaan katil rawatan rapi Covid-19 di Perak, Selangor, Melaka, Terengganu, Sarawak juga lebih 70%.
“Buat masa ini, terdapat lebih dari 1,450 orang anggota perubatan di hospital seluruh negara yang telah dijangkiti atau terpaksa menjalani arahan kuarantin dan tidak dapat bertugas.
“Jumlah kematian akibat Covid-19 pula terus meningkat kepada 521 kes dengan kadar kematian sebanyak 0.41%.
“Malaysia mencatatkan lebih 100 kes kematian sebulan bagi Oktober hingga Disember 2020 berbanding dua hingga 59 kes kematian sebulan bagi Mac hingga September 2020.”
Pertambahan yang tinggi ini petugas kesihatan lewat mengambil pesakit di rumah untuk di bawa ke hospital dan pusat kuarantin dan diburukkan lagi dengan bencana banjir di beberapa negeri.
“Ini menyukarkan usaha menambah bilangan katil ICU untuk pesakit kritikal,” katanya.
Kadar kebolejangkitan R-naught pada angka 1.1 pada waktu ini menujukkan kes boleh meningkat sehingga 5,000 sehari pada minggu kedua April dan seterusnya 8,000 kes sehari pada Mei.
“Trend ini nyata amat membimbangkan dan kerajaan sedar bahawa pendekatan yang lebih tegas mesti diambil bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 ini…”
Katanya, ia perlu turun ke angka lebih terkawal seperti nilai 0.335 yang dicatat selepas pelaksanaan PKP bermula Mac tahun lalu yang menyebabkan peningkatan hanya satu hingga dua kes harian.
Jumlah itu naik mendadak selepas pilihan raya negeri Sabah dilangsungkan pada September tahun lalu.
Ia pada mulannya dinafikan pentadbiran Muhyiddin namun kemudian diakui sendiri oleh perdana menteri bahawa pilihan raya tersebut merupakan sebab jumlah kes naik mencanak.
Malaysia hari ini mencatatkan 2,232 lagi kes baharu hari ini, yang menjadikan jumlah kes Covid-19 dalam negara menghampiri angka 150,000 dengan 555 kematian.
Selangor melaporkan jumlah kes tertinggi dengan 557 kes baharu diikuti Johor dengan 396 kes dan Sabah dengan 374 kes. – 11 Januari, 2020.
Komen