Muhyiddin umum PKP, larangan rentas negeri bermula Rabu


Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor dan Sabah dinilai antara negeri berisiko tinggi dan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan bermula Rabu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari, 2021. 

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa semula bermula Rabu selama 14 hari di tiga zon berbeza di seluruh negara mengikut kadar jangkitan, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau juga mengumumkan larangan pergerakan rentas negeri seluruh Malaysia dan sekatan jalan raya akan bermula jam 12.01 pada Rabu.

Katanya, PKP yang ketat dikuatkuasa di enam negeri yang mencatat kes Covid-19 paling tinggi di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor dan Sabah.

Di negeri ini, pergerakan hanya terhad dalam jarak 10 kilometer sahaja untuk membeli barang keperluan dan pergerakan rentas daerah juga tidak dibenarkan..

“Hanya dua anggota isi rumah rumah yang dibenarkan untuk keluar dan berada di dalam kenderaan yang sama,” katanya yang menambah kompaun RM1,000 dikenakan jika larangan ini dilanggar.

Segala aktiviti sosial juga tidak dibenarkan di negeri terbabit, katanya dalam pengumuman secara langsung petang ini.

“Aktiviti sosial yang melibatkan perkumpulan beramai-ramai seperti kenduri  kahwin,  persidangan,  perarakan keagamaan termasuk Thaipusam, mesyuarat, seminar, kursus dan  sukan  berkumpulan adalah tidak dibenarkan sama  sekali.”

Tambahnya, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pula dimulakan di enam lagi negeri – Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan untuk tempoh sama.

Pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan bagi negeri terbabit namun pergerakan rentas daerah dibenarkan.

Tambahnya, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula dikuatkuasa di Perlis dan Sarawak, yang kini mencatat jumlah jangkitan kes paling kecil.

“(Keputusan dibuat) berdasarkan penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pelbagai kementerian dan agensi serta nasihat pakar kesihatan  awam di dalam negara.”

Berikut ringkasan butiran lanjut yang diumumkan perdana menteri:

* Lima sektor dibenarkan beroperasi sebagai sektor ekonomi perlu: Pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan, pengedaran, perladangan dan komoditi.-

* Hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan yang dibenarkan berada di pejabat dan majikan perlu menentukan jumlah pekerja sokongan yang diperlukan pada satu-satu masa.

* Jumlah pekerja mesti ambil kira pematuhan ketat SOP yang ditetapkan.

* Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan perincikan jenis perkhidmatan yang disenaraikan sebagai sektor perlu.

* MITI dan Kementerian Kerja Raya akan memperincikan butiran kerja-kerja pembinaan yang dibenarkan beroperasi.

* Arahan kerja dari rumah berkuatkuasa untuk sektor atau perkhidmatan yang tidak disenaraikan sebagai essential services. Semua majikan mesti mematuhi arahan.

* Hanya perkhidmatan bungkus untuk kedai makan, gerai penjaja di kawasan PKPB, operasi seperti biasa ikut SOP di kawasan PKPB dan PKPP

* Pasar raya, perkhidmatan kesihatan termasuk klinik, hospital dan farmasi, serta bank dibenarkan beroperasi di kawasan PKP pada tahap berjaga-jaga.

* Bekalan di semua sektor peruncitan mencukupi.  

* Pengecualian kepada pelajar dan calon peperiksaan utama termasuk SPM sesi 2020 dan 2021 hadir ke sekolah dengan SOP ketat. Kementerian Pelajaran Malaysia perincikan SOP ini.

* Hanya AJK masjid, rumah ibadat dibenarkan hadir di negeri PKP, maksimum lima orang. Kehadiran dengan bilangan minimum bawah PKPB dan PKPP ikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri. – 11 Januari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen