Kabinet Melayu-Islam Hadi macam Taliban, kata DAP


Looi Sue-Chern

Setiausaha Agung DAP berkata tidak ada orang bukan Islam, bukan Melayu dan malah tidak ada pun Melayu Islam yang moderate akan terima cadangan Hadi itu yang digambarkan beliau seperti pengganas Taliban. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Disember, 2017.

CADANGAN “kabinet Melayu-Islam” oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang sangat bersifat “menghasut, merbahaya, perkauman dan pelampau,” kata DAP hari ini.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, cadangan Hadi untuk mewujudkan kabinet yang hanya terdiri daripada kaum Melayu beragama Islam itu bukan sahaja “tidak berperlembagaan tapi akan menjurus kepada perpecahan dan pembubaran Malaysia.”

Tambahnya, kenyataan Hadi itu patut dikutuk.

“Kabinet Melayu-Islam Hadi itu jelas melawan perlembagaan sebab ia (akan) merendahkan status dan mengurangkan hak rakyat bukan Melayu dan bukan Islam.

“Tidak ada orang bukan Melayu, bukan Islam, malah Melayu Islam moderate sendiri akan terima tindakan bak ektremis dan perkauman tebal yang sama macam Taliban itu,” katanya. 

Guan Eng berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan Hadi dalam Harakah Daily Jumaat lalu yang berkata Islam mestilah meletakkan ketua negara dan anggota kabinetnya yang berakidah Islam daripada bangsa yang paling berpengaruh.

Bagaimanapun, tambah Hadi, Islam memberi hak yang lebih banyak kepada penganut bukan Islam dalam aspek politik, ekonomi dan lain-lain urusan kehidupan.

Katanya lagi, dalam politik, Islam menekankan kempimpinan yang menentukan dasar mestilah orang beragama Islam dan menerima bukan Islam dalam aspek kepakaran dan pengurusan, bukannya perkara dasar dan konsep.

Justeru, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kenyataan Hadi yang bersifat “pelampau dan perkauman” itu juga akan menakutkan penduduk Sabah dan Sarawak. 

“Ia mungkin akan membawa kepada perpecahan Malaysia menjadi negara yang terpecah menjadi bahagian Melayu-Islam dan bukan Melayu-Islam,” katanya.

Guan Eng juga turut menekankan yang Hadi gagal menaikkan isu skandal kewangan dan rasuah seperti kontroversi 1Malaysia Development Bhd (1MDB) atau penghapusan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang menyebabkan ekonomi rakyat terbeban.

“Inilah jenis parti politik yang Umno nak bekerjasama. Sebab PAS sanggup tutup mata terhadap masalah rasuah yang menular dalam Barisan Nasional sehingga nak jadikan Malaysia sebagai kleptrokasi, agar PAS boleh meneruskan tujuan perkauman dan pelampau,” katanya.

Tambah Guan Eng, tindakan DAP untuk memutuskan persahabatan politik dengan PAS sangat tepat selepas pemimpin tertinggi PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia pada Februari 2015.

Beberapa bulan selepas Nik Aziz meninggal dunia, PAS di bawah kepimpinan Hadi secara rasminya memutuskan kerjasama politik dengan DAP, juga menyebabkan runtuhnya gabungan pembangkang terdahulu, Pakatan Rakyat.

Dua parti itu mula berselingkuh untuk beberapa bulan mengenai keputusan PAS untuk mengenakan hukuman hudud di Kelantan. Semenjak itu, hubungan baik dua parti itu tidak sehaluan bak layang-layang terputus tali.

“Tok Guru Nik Aziz seorang yang sederhana dan anti-Umno itu telah diganti dengan Hadi yang bersifat pelampau, perkauman dan pro kepada kerajaan gabungan bersama Umno.

“DAP sanggup rugi bagi menegakkan prinsip dan perlembagaan persekutuan dengan memutuskan pertalian dengan PAS,” kata Guan Eng. 

Beliau turut mengutuk parti komponen BN lain seperti MCA, Gerakan dan SUPP kerana tidak berani keluar dari BN yang ditunjangi Umno itu, memandangkan Umno bekerjasama dengan PAS bagi menyelamatkan diri daripada kontroversi seperti 1MDB dan GST.

“Walaupun dikhianati Umno, parti seperti MCA, Gerakan dan SUPP terus bersama Umno.

“Adakah keistimewaan pejabat kementerian dan godaan kuasa terlalu tinggi sampai sanggup melepaskan hak bukan Melayu dan hak bukan Melayu-Islam?

“Adakah (mereka) lebih kuat daripada prinsip asas antara benar dan salah?” kata Guan Eng.

Awal bulan ini, Hadi telah menyerang DAP dengan menuduh pemimpin veteran Lim Kit Siang yang juga ayah Guan Eng itu berangan-angan untuk menjadi perdana menteri. Hadi turut menuduh bahawa penduduk Pulau Pinang menderita di bawah kepimpinan DAP. – 26 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • bukan mcm tp mmg taliban

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan

  • Sarawak Dan Sabah dijanji tidak akan macam ini. Cara Hadi lebih jahat dari Zionis, Klu Klax Klan Dan supremos putih. Hadi sebenarnya berpegang salib kuno dengan semua kebencian lebih teruk dari masa sejarah.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Bigjoe Lam · Ulasan