Tiada pakatan rahsia dengan Umno, kata ahli Parlimen DAP 


Chan Kok Leong

DAP adalah sebahagian daripada Pakatan dan tidak akan mengadakan rundingan 'gabungan baharu' tanpa PKR dan Amanah, kata seorang ahli Parlimen parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2021.

BERTENTANGAN dengan dakwaan yang dibuat, pemimpin Umno tidak membuat sebarang perjanjian dengan DAP untuk membentuk kerajaan persekutuan baharu, kata ahli Parlimen pembangkang.

“Tidak timbul sebarang persoalan sama ada Umno dan DAP bekerjasama untuk membentuk mana-mana kerajaan, kata seorang ahli Parlimen kepada The Malaysian Insight. 

“Sebarang perbincangan yang berlaku adalah melalui Pakatan Harapan dan Anwar Ibrahim,” tambahnya. 

Ahli Parlimen berkenaan berkata demikian ketika mengulas dakwaan bekas setiausaha agung Barisan Nasional Annuar Musa bahawa Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi berpakat dengan DAP untuk jatuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

Annuar yang digugurkan daripada jawatan setiausaha agung BN pada Selasa mendakwa beliau mempunyai “maklumat sahih” mengenai pertemuan pemimpin Umno dan DAP termasuk mereka yang berada dalam pakatan itu.

Namun ahli Parlimen DAP yang enggan identitinya didedahkan menolak dakwaan itu. 

“Ia hanya cubaan untuk mengalihkan perhatian masyarakat mengenai masalah Umno dengan Bersatu.

“DAP adalah sebahagian daripada Pakatan dan tidak akan mengadakan rundingan ‘gabungan baharu’ tanpa PKR dan Amanah. Itu sesutau yang dilakukan Bersatru pada Februari, bukan kami,” kata ahli Parlimen berkenaan. 

Katanya Umno sendiri yang berpecah yang mana Annuar mahu kekal dengan Perikatan manakala pemimpin lain seperti bekas presiden Najib Razak menganjurkan parti itu untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu. 

Seorang lagi ahli Parlimen DAP dari Perak berkata terdapat perbincangan sebelum undi tidak percaya terhadap bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu, ia bukan mengenai pembentukan mana-mana kerajaan atau sekutu. 

“Ia hanya isu keyakinan,” katanya. 

Dua lagi ahli Parlimen berkata, adalah perkara biasa untuk ahli politik bercakap sesama sendiri. 

“Namun ia tidak bermakna parti merancang untuk menjatuhkan kerajaan. Mungkin Annuar bimbang kerana Bersatu lakukannya kepada Pakatan tahun lalu,” katanya. 

Salah seorang ahli Parlimen terbabit berkata sebelum pembentangan Belanjawan 2021, pemimpin Perikatan juga menghubungi DAP dan Pakatan untuk membincangkan mengenai perjanjian keyakinan dan pembekalan. 

“Perbincangan ini dibuat di kedua-dua belah pihak dan ia tidak pernah didedahkan kepada umum. Namun sudah pasti tiada apa yang berlaku, kata ahli Parlimen. 

Ditanya sama ada ahli Parlimen DAP membincangkan mengenai kemungkinan kerjasama dengan Umno untuk membentuk kerajaan, beliau berkata: “Isu ini langsung tidak timbul”.

Tidak sampai setahun menyertai Bersatu, PAS, GPS dan parti lain untuk membentuk kerajaan Perikatan, Umno kini cuba menamatkan kerjasama dengan Bersatu. 

Ia ketika timbul dakwaan Bersatu cuba melemahkan parti itu dengan “membeli” ahlinya dan melompat parti ketika pilihan raya negeri Sabah September lalu. 

Pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi pada Rabu, Umno memutuskan untuk membiarkan usul bahagian dibawa ke perhimpunan agung pada 31 Januari bagi memutuskan mengenai kerjasama dengan Bersatu. – 8 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen