Perikatan perlu berubah atau rebah, kata pemimpin PAS


Ahli Jawatankuasa PAS pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata PN perlu menyelesaikan masalah dalaman gabungan itu atau bersedia untuk rebah jika tidak ditangani segera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2021.

PERIKATAN Nasional (PN) perlu berani berubah untuk menyelesaikan masalah dalaman antara parti-parti dalam kerajaan, kata seorang pemimpin PAS, ketika suara Umno semakin lantang mendesak parti Melayu itu menarik diri daripada terus menyokong kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.

Ahli Jawatankuasa PAS pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata PN perlu menyelesaikan masalah dalaman itu atau bersedia untuk rebah jika tidak ditangani segera.

Katanya, masalah itu tidak boleh diselesaikan dengan Umno, PAS, dan Bersatu saling tuduh-menuduh antara satu sama lain, mencari siapa yang bersalah kerana membuat tuntutan itu dan ini.

“Jika kita bermula dengan menuduh yang menuntut itu adalah bersalah, maka akan tertutuplah pintu keadilan bagi mereka yang terasa dianiayai.

“Jika kita berat hati untuk ke proses timbang tara, itu pun menjadi kezaliman baru di atas tuduhan kezaliman awal.

“Perikatan Nasional, kerajaannya perlu dua kekuatan awal. Berani berubah dan berani berislah diri,” katanya dalam satu komentar di Facebook.

Menurut Nik Abduh, ketiga-tiga parti Melayu dalam kerajaan PN tidak bersalah dengan pendirian masing-masing kerana isu antara mereka memang belum selesai, sementara gabungan kerajaan itu pula belum diuji ketahanan politiknya.

“Hak-hak di antara pendirinya masih belum disusun dan ditimbang dengan sebaiknya. Masing-masing sedang menuntutnya.

“Bukan salah Umno menuntutnya. Bukan salah PAS dan Bersatu jika menuntutnya atau mempertahankannya,” katanya.

Jelas Nik Abduh, tuntutan parti-parti itu adalah demi kelangsungan kerjasama mereka.

Kenyataan Nik Abduh dibuat ketika majoriti bahagian Umno yang bermesyuarat pada hujung minggu lalu mengusulkan agar parti itu menarik balik sokongan kepada Bersatu dan tidak bekerjasama dengan parti pimpinan Muhyiddin dalam pilihan raya umum akan datang.

Majlis Kerja Tertinggi Umno yang bermesyuarat malam tadi memutuskan untuk mengangkat usul-usul berkenaan ke Perhimpunan Agung Umno 2020 yang akan diadakan pada 31 Januari ini.

Perhimpunan agung itu tertangguh sejak Oktober lalu susulan peningkatan penularan pandemik Covid-19 selepas pilihan raya negeri Sabah pada akhir September.

Selain kerjasama dengan Bersatu, Perhimpunan Agung Umno 2020 akan juga membahaskan usul untuk Umno mengukuhkan kerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) dan desakan agar Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan segera.

Sumber pimpinan kanan Bersatu memberitahu The Malaysian Insight mereka sedia putus hubungan dengan Umno dan menghadapi pilihan raya umum bersama PN, jika itu yang dikehendaki oleh parti itu. – 7 Januari, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen