Ada orang cuba laga Anwar-Azmin, kata Afif


Zaim Ibrahim

Adun Seberang Jaya Afif Bahardin berkata selepas dipecat PKR, beliau berjumpa Muhyiddin Yassin dan ditawarkan bersama Bersatu. – Gambar Facebook, 5 Januari, 2021.

TINDAKAN meninggalkan PKR bersama Azmin Ali dibuat kerana tidak lagi yakin kepada kepemimpinan Anwar Ibrahim sebagai ketua umum parti, kata Adun Seberang Jaya Afif Bahardin.

Jelas beliau kepada The Malaysian Insight, beliau dan rakan-rakan memilih untuk berubah arah politik apabila melihat kepimpinan parti tidak lagi membicarakan soal rakyat dan reformasi.

“Dalam Pakatan Harapan (PH) pun ramai tinggalkan parti. (Contohnya) Amanah satu parti tinggalkan PAS, masa itu Mohamad Sabu sebagai timbalan presiden PAS.

“Jadi apa beza dengan saya? Mereka tinggalkan kerana tidak setuju dengan kepimpinan dalam PAS.

“Sama juga kami, tidak sama dengan hala tuju dan kepimpinan dalam PKR hari ini yang hanya fokus jawatan dan kuasa,” katanya.

Jelasnya, mereka kecewa kerana melihat parti itu lebih mengutamakan kesetiaan kepada Anwar dan bukannya kepada agenda reformasi yang dilaungkan selama ini.

“Tidak fokus refromasi dan tidak cakap soal rakyat, tapi hari-hari sebut soal siapa pengkhianat dan kuasa, ” katanya.

Timbalan ketua penerangan Bersatu itu berkata beliau kini selesa walaupun bertukar parti kepada Bersatu kerana menurutnya rakyat masih menerima beliau di DUN Seberang Jaya.

“Rakyat masih terima kami.

“Kita pilih pemimpin daripada hati. Saya ada keyakinan itu, masih tetap membawa agenda reformasi dan perubahan untuk rakyat.”

Seberang Jaya merupakan salah satu DUN dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh yang sinonim dengan Anwar yang juga presiden PKR.

Kawasan itu diwakili Anwar sejak 1980-an, dan hanya diwakili isterinya, Wan Azizah Wan Ismail sewaktu beliau dipenjara sebanyak dua kali, pada 2004 dan 2008.

Kawasan itu kini diwakili anak pasangan tersebut, Nurul Izzah.

Menyorot kembali rentetan peristiwa yang menukar haluan politiknya, Afif berkata kekecewaan itu bermula apabila pihak tertentu mula mengeruhkan hubungan Anwar dengan Azmin.

Perkara itu bermula selepas PKR mengadakan pemilihan parti pada 2018 dan memuncak ketika kongres parti diadakan pada tahun berikutnya.

Kongres itu bertukar huru-hara apabila berlaku insiden pergaduhan dan perbalahan dalam kalangan ahli parti.

Azmin juga bertindak keluar daripada dewan kongres kerana mendakwa Anwar melanggar janji ekoran ucapan yang menyebut mengenai watak pengkhianat Si Kitol.

Azmin juga tidak hadir ketika sesi penutup kongres tersebut.

Mengulas kejadian itu, Afif berkata beliau merupakan antara individu yang cuba menentang usaha melaga-lagakan Anwar dan Azmin tetapi tetap dianggap tidak bersama dalam PKR.

“Apabila saya hadir (kongres parti pada akhir 2019) saya dihalau, ditendang dan dipukul di Melaka, saya fikir inikah parti yang telah saya bantu untuk bina?

“Saya bukan baru dalam parti walaupun saya muda, daripada awal kita pegang prinsip reformasi untuk Malaysia, bukan untuk satu individu dan kelompok.

“Selama tujuh tahun sebagai exco kerajaan negeri, saya pegang reformasi perlu berjalan dalam pentadbiran kerajaan tetapi ia tidak dinilai sebagai pejuang, tetapi saya dinilai dengan siapa saya duduk bersama,” kata Afif.

Ujar beliau, selepas peralihan kerajaan pada Februari ekoran Langkah Sheraton, beliau tidak berhasrat untuk keluar daripada PKR tetapi terpaksa berbuat demikian kerana ditekan.

Katanya, pemimpin parti mengarahkan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow untuk memecatnya sebagai exco kerajaan negeri.

“Saya rela letak jawatan, itu proses yang akan saya hadapi.

“Saya terus berkhidmat sebagai Adun Seberang Jaya tetapi dikenakan tindakan disiplin kerana bekerjasama dengan petugas pusat khidmat.

“Saya tanya parti, jika berkhidmat kepada rakyat pun boleh dikenakan tindakan, jadi ambil lah tindakan terhadap saya,” jelasnya.

Afif kemudiannya dipecat daripada PKR pada Jun lalu dan memilih untuk bersama Azmin .

“Saya berjumpa dengan Muhyiddin Yassin, beliau tawarkan untuk bersama Bersatu. Saya terus bekerja dengan Azmin dan kita pandang ke hadapan,” tambahnya.

Kerajaan Pakatan Harapan runtuh apabila Azmin dan pengikutnya membentuk kerjasama politik baharu, melibatkan Umno dan PAS serta ahli Bersatu yang menyokong Muhyiddin.

Ia membolehkan kerajaan dengan gabungan baharu Perikatan Nasional dibentuk dengan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Pada Ogos, Bersatu menerima keahlian Azmin dan 10 lagi ahli Parlimen daripada kalangan bekas pemimpin PKR, termasuk anggota empat pertubuhan.

Empat NGO itu, dengan keahlian yang dianggarkan mencecah 200,000 orang terdiri dari Penggerak Komuniti Negara, Nation of Women, Pemuda Negara dan Wanita Muda Negara.

Azmin juga dilantik sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bersama seorang lagi ahli Parlimen, Zuraida Kamaruddin yang juga dikekalkan sebagai menteri dalam Kabinet Muhyiddin. – 5 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen