Akar umbi Umno main peranan penting putuskan hubungan dengan Bersatu


Chan Kok Leong

Sebanyak 143 daripada 191 cawangan Umno seru pucuk pimpinan parti bertanding di semua kerusi dan menolak kerjasama dengan Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2021.

SERUAN 143 cawangan Umno untuk bertanding di semua kerusi pada pilihan raya akan datang bakal memperkuatkan tekad parti itu untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu, kata penganalisis.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang akan bersidang esok (Rabu) tidak boleh mengabaikan seruan 143 cawangan itu, yang merupakan majoriti besar daripada 191 cawangan Umno, kata mereka.

“Apa yang kelihatan seperti tertinggal, sama ada MKT akan keluarkan keputusan tegas serta merta, atau tunggu perhimpunan agung parti itu hujung bulan ini,” kata Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia.

Setelah tamatnya mesyuarat tahunan cawangan Umno hujung minggu lalu, 143 cawangan parti itu  mengeluarkan resolusi mendesak pucuk pimpinan parti untuk bertanding di semua kerusi dan menolak sebarang kerjasama politik dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15, yang patut diadakan pada September 2023.

Bagaimanapun, cawangan itu mahukan pilihan raya umum diadakan pada suku pertama tahun ini. Bahagian Gua Musang yang diketuai oleh veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata, semua ahli Parlimen Umno mesti menarik sokongan mereka terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Bersatu sekiranya pilihan raya tidak diadakan.

Pada PRU14, Umno bertanding 121 daripada 222 kerusi parlimen di Dewan Rakyat dengan memenangi 54 kerusi. Ia juga buat kali pertama dalam sejarah Malaysia, kalah kepada pembangkang, langsung hilang kuasa sebagai kerajaan. Pada PRU13, Umno memenangi 88 kerusi.

Tetapi setelah kalah PRU14, 15 ahli Parlimen Umno berpaling tadah dengan bersekutu bersama Bersatu, menjadikan parti itu hanya 39 kerusi (38 sekarang, setelah Ahli Parlimen Grik Hasbullah Osman meninggal dunia).

Pengarah Pusat Ilham Hisomuddin Bakar juga mengharapkan MKT Umno menggunakan resolusi cawangan Umno minggu lalu untuk mengakhiri semua kerjasama politik dengan Bersatu.

Beliau berkata, komen terbaharu oleh pemimpin Umno senada selepas tamatnya mesyuarat cawangan Umno minggu lalu.

Menjelang mesyuarat cawangan Umno hujung minggu lalu, bekas presiden Najib Razak berkata Umno bukan milik mana-mana individu atau pemimpin untuk ditentukan hala tujunya, ketika parti politik terus berbincang mengenai kerjasama dan gabungan sejak percaturan kuasa yang menjatuhkan Pakatan Harapan hampir 10 bulan lalu.

Pada masa sama, Ketua Pemuda Umno Dr Aysraf Wajdi Dusuki juga menyuarakan rasa tidak senangnya dengan Bersatu, yang didakwanya cuba melemahkan Umno dengan “membeli” ahlinya.

Hisomuddin berkata Umno mahu menjadi parti Melayu dominan, malah harus memutuskan hubungan dengan Bersatu yang disyaki sebagai perosak parti itu.

“Parti itu juga menyedari peningkatan populariti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana politik populisnya dan tahu mereka harus tamatkan segera sebelum terlambat,” katanya. – 5 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen