PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak akan terburu-buru menyertai gabungan besar pembangkang untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, kata pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.
Sebaliknya, Pejuang akan menjadi pihak ketiga dan akan meneliti objektif gabungan pembangkang, tambah beliau.
“Kita akan jadi third party. Kita akan lihat apa pendirian mereka.
“Kita tidak terikat untuk sertai gabungan besar,” kata ahli Parlimen Langkawi itu pada sidang media di sebuah majlis anjuran Pejuang di Shah Alam hari ini.
Gabungan besar pembangkang mula dibangkitkan oleh Timbalan Presiden Penaja Pejuang Marzuki Yahya dan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal.
Minggu lalu, rakan komponen PH secara dasarnya setuju dengan idea gabungan besar pembangkang, dan perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden akan datang.
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata idea yang dicetuskan partinya itu mendapat sokongan DAP dan PKR.
“Maka apa yang kita ingin tegaskan pada rakan-rakan kita dalam PH melalui Majlis Presiden, golongan 108 (ahli Parlimen pembangkang) yang setia bersama dalam saf pembangkang menentang PN (Perikatan Nasional),” katanya, pada sidang media yang disiarkan secara atas talian dalam Konvensyen Nasional 2020 Parti Amanah Negara di Ayer Keroh, Melaka pada Sabtu lalu.
Dr Mahathir turut ditanya mengenai langkah seterusnya yang diambil sekiranya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak meluluskan permohonan Pejuang sebagai parti politik yang sah.
“Kita ada plan B tapi itu rahsia. Sama juga seperti kerajaan dahulu (Barisan Nasional) tak mahu daftar PH sebagai gabungan, kita tahu apa nak buat,” katanya.
Pada 10 Disember lalu Pejuang mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memerintahkan RoS membuat keputusan berhubung pendaftaran parti itu.
RoS adalah unit di bawah Kementerian Dalam Negeri dan menteri terkini adalah Hamzah Zainuddin dari Bersatu. – 31 Disember, 2020.
Komen