DAP, PKR setuju tubuh gabungan besar pembangkang, kata Khalid


Mohd Farhan Darwis Kamles Kumar

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, melalui idea gabungan besar pembangkang itu juga ia akan dapat menambahkan keberkesanan pembangkang di dalam Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2020.

RAKAN komponen Pakatan Harapan (PH) dari DAP dan PKR secara dasarnya bersetuju dengan idea gabungan besar pembangkang seperti yang dipelopori Amanah, kata Khalid Samad.

Pengarah komunikasi Amanah itu berkata, perkara itu juga akan dibawa untuk dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH akan datang.

“Maka apa yang kita ingin tegaskan pada rakan-rakan kita dalam PH melalui Majlis Presiden, golongan 108 (ahli parlimen pembangkang) yang setia bersama dalam saf pembangkang menentang PN (Perikatan Nasional).

“Maka PH mesti setuju bahawa kita nak perluaskan, saya rasa PKR dan DAP telah pada dasarnya bersetuju kita kena perluaskan kerjasama antara parti pembangkang untuk menghadapi PN, BN (Barisan Nasional) dan MN (Muafakat Nasional),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang disiarkan secara atas talian dalam Konvensyen Nasional 2020 Parti Amanah Negara di Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, melalui idea gabungan besar pembangkang itu, ia akan dapat menambahkan keberkesanan pembangkang di dalam Dewan Rakyat.

Ini kerana kata Khalid, situasi politik semasa menunjukkan pihak lawan berjaya memecahkan kesatuan pembangkang.

“Ia akan juga menambahkan keberkesanan kita dalam Parlimen bila boleh duduk semeja, boleh berbincang dengan semua parti pembangkang  merangka strategi berkesan.

“Saya menganggap pecahnya pembangkang ini adalah strategi pihak lawan sama ada PN, BN dan MN,” kata Khalid.

Struktur gabungan besar pembangkang itu juga katanya akan diketuai PH memandangkan gabungan itu memiliki bilangan kerusi ahli Parlimen terbesar.

“PH yang ketuai kerana kita ada 92 kerusi ahli Parlimen dan pembangkang lain sama ada sertai PH atau PH Plus. 

“Kita akan tetap adakan mesyuarat bersama dan presiden parti lain dapat memberi cadangan atau pandangan cara hadapi PN dan sebagainya,” kata Khalid lagi. – 26 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen