Isu kehilangan tanah Felda boleh ancam keselamatan negara, kata Perkasa


Amin Iskandar

Kerajaan digesa mengambil langkah serius bagi mengelakkan isu seperti skandal terbaru melibatkan Felda daripada berulang, termasuk mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2017.

ISU pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang bernilai berbilion ringgit boleh mengancam keselamatan negara, kata sebuah pertubuhan hak Melayu, yang menyifatkan transaksi hak milik tanah itu sebagai “samun”.

Presiden Perkasa, Ibrahim Ali berkata kerajaan perlu mengambil langkah serius bagi mengelakkan isu seperti skandal terbaru melibatkan Felda itu daripada berulang, termasuk mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah rasuah.

Sehubungan itu, beliau mengulangi gesaan Perkasa agar kerajaan memperkenalkan satu akta baharu bagi mengawal kepentingan ekonomi negara serta mengawal rasuah dan salah guna kuasa.

“Apabila rakyat marah, berbagai angkara boleh berlaku dan akhirnya mengancam keamanan dan keselamatan negara,” kata Ibrahim kepada The Malaysian Insight.

“Sebab itu sebelum ini Perkasa pernah mencadang dan meluluskan usul agar diwujudkan Akta Sabotaj Ekonomi sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sudah dimansuhkan.”

Khamis lalu, akhbar pro kerajaan Berita Harian mendedahkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas kawasan strategik yang dianggar bernilai RM270 juta di Jalan Semarak di Kuala Lumpur susulan urusan pindah hak milik tanah yang mencurigakan pada 2015.

Bagaimanapun, pada Sabtu akhbar yang sama melaporkan nilai semasa tanah Felda di Jalan Semarak yang diambil alih untuk dimajukan pembangunan bercampur projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) dianggarkan mencecah kira-kira RM1 bilion tetapi dijual dengan harga lebih murah RM270 juta.

Empat hari lalu, Timbalan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki mengatakan tiada unsur rasuah dalam penjualan tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Menurut Ibrahim, undang-undang sedia ada sekarang ini tidak menghukum pesalah rasuah dengan berat menyebabkan kesalahan itu mungkin berulang.

“Ada yang berkata apa salah masuk penjara 5-10 tahun, bila keluar ada ratusan juta.

“Maka hukuman rasuah dan penyalahgunaan kuasa mesti ada mandatori rotan, semua harta dirampas dan minimum penjara 10 tahun,” katanya.

Ibrahim berkata, melalui Akta Sabotaj Ekonomi, mereka yang disyaki terlibat boleh ditahan serta-merta selama 30 hari tanpa mendapat perintah mahkamah.

“Penyiasatan lebih cepat dan berkesan jika yang disyaki disiasat sewaktu dalam tahanan sama seperti SOP akta ISA dulu.

“Cara sekarang melalui siasatan penubuhan jawatankuasa atau bawa yang disyaki ke mahkamah untuk dapat perintah reman beberapa hari dan kemudian yang disyaki boleh dijamin, apa yang akan berlaku mungkin bukti dimusnahkan, saksi pula kemungkinan dibeli,” katanya.

Menurut Ibrahim, mengikut undang-undang sekarang juga, proses melalui mahkamah cukup panjang dan memakan banyak belanja wang negara.

“Tidak mustahil, selepas siasatan dan kumpul bukti bertahun, yang disyaki mati dulu sebelum didakwa atau selesai pendakwaan dan perbicaraan.

“Kemudian jika didapati bersalah, hukuman pula 2-3 tahun penjara sahaja,” katanya. – 25 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Mmg boleh mengancam keselamatan negara kerana harta org melayu telah disamun

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan