MENTERI Sains Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin sedia untuk memberi taklimat kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai pemerolehan vaksin Covid-19.
Menurutnya, ini susulan tindakan pemimpin DAP Lim Kit Siang yang mengulangi kenyataan bahawa kerajaan membayar 20 kali ganda lebih tinggi berbanding Belgium bagi vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu sebelum ini berkata rakyat Malaysia berhak untuk trahu berapa banyak yang dibelanjakan kerajaan untuk vaksin Pfizer bagi mengurangkan kekeliruan berhubung harga.
Khairy berkata perjanjian yang ditandatangani dengan pengeluar vaksin itu terikat dengan syarat kerahsiaan, justeru butiran kos bagi seunit tidak boleh didedahkan.
“Pendirian saya adalah untuk menghormati syarat perjanjian kerana ia penting bagi kita dapatkan bekalan vaksin untuk rakyat.
“Bagaimanapun, memandangkan perkara ini dibangkitkan sebagai perbahasan politik terutamanya oleh YB Lim Kit Siang, oleh itu saya sedia untuk memberi taklimat kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara yang dioengerusikan oleh YB Ipoh Timur (Wong Kah Woh) dari DAP dan juga ahli jawatankuasa terdiri daripada ahli Parlimen dari kerajaan dan pembangkang,” katanya pada sidang media hari ini.
Khairy sedia mendedahkan butiran perolehan itu kepada PAC namun katanya ahli jawatankuasa itu perlu patuh pada syarat kerahsiaan yang ditetapkan syarikat pengeluar vaksin.
Menurutnya, beliau khuatir jika masalah itu berlarutan, hal itu dapat mengikis kepercayaan masyarakat dan menimbulkan keraguan terhadap vaksin.
Putrajaya telah memperuntukkan dana sebanyak RM2.05 bilion (AS$504.4 juta) untuk pemerolehan vaksin Covid-19 kepada 82.8% penduduk.
Kos itu termasuk dalam perjanjian yang dimeterai dengan Covax, Pfizer dan AstraZeneca dengan tiga lagi perjanjian masih belum dimuktamad.
Putrajaya juga masih berbincang dengan syarikat Sinovac dan CanSinoBIO dari China serta Pusat Penyelidikan Gamaleya Rusia untuk pemerolehan vaksin. – 23 Disember, 2020.
Komen