RAKYAT Malaysia berhak mengetahui jumlah bayaran yang dibuat kerajaan untuk vaksin Pfizer Covid-19 dalam susulan terdapat kekeliruan berkenaan harganya, kata veteran DAP Lim Kit Siang.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata kerajaan khususnya Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin harus menjelaskan jumlah sebenar harga vaksin berkenaan.
Beliau menambah ia penting terutama selepas kerajaan Belgium mendedahkan harga vaksin tersebut sebenarnya 20 kali ganda lebih murah.
Beliau juga berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini dilaporkan berkata bahawa kerajaan mulai melancarkan rancangan bernilai RM3 bilion bagi mendapatkan vaksin Covid-19 untuk mengimunisasi 6.4 juta penduduk.
Muhyiddin juga berkata vaksin itu akan dikeluarkan seawal Januari 2021.
“Sekarang Khairy kata RM3 bilion adalah anggaran keseluruhan untuk mendapatkan perlindungan ke atas sekurang-kurangnya 70% penduduk.
“Siapa yang tidak betul – Muhyiddin atau Khairy?,” katanya dalam satu kenyataan.
Lim berkata bahawa rakyat Malaysia juga sudah diberitahu bahawa kumpulan pertama vaksin Covid-19 dari Pfizer hanya akan tiba pada Februari tahun depan dan bukan seawal Januari 2021.
“Mungkinkah tarikh akhir kemasukan kumpulan pertama vaksin Covid-19 dari Pfizer akan dilanjutkan sehingga Mac tahun depan?
“Inilah sebabnya mengapa rakyat Malaysia mahu kerajaan bersikap jujur, telus dan bertanggungjawab dalam menguruskan krisis pandemik Covid-19,” katanya. – 21 Disember, 2020.
Komen