KHAIRY Jamaluddin hari ini mempelawa veteran DAP Lim Kit Siang hadir ke sidang media kementeriannya mengenai status perolehan vaksin Covid-19 Malaysia esok.
Lim dijemput selepas ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkali-kali mendakwa Belgium membayar 20 kali lebih murah untuk vaksin Pfizer berbanding Malaysia.
Beliau berkata rakyat Malaysia berhak untuk mendapatkan maklumat mengenai jumlah yang dibayar oleh kerajaan untuk vaksin Pfizer Covid-19 susulan terdapat kekeliruan berkenaan harganya.
Khairy, yang juga menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, menerusi Twitter hari ini berkata beliau akan mengadakan satu sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri esok berkenaan status perolehan vaksin Covid-19.
“PM @MuhyiddinYassin baru saja umum perkembangan vaksin Covid-19. Selepas menandatangani perjanjian dengan COVAX, Pfizer & Astra Zeneca dan memuktamadkan perjanjian dengan Sinovac, CanSino & Gamaleya, kami akan mendapat vaksin untuk hampir 83% populasi kami dengan harga RM 2.05 bilion.
“Dengan pengumuman ini saya harap ia menjelaskan maklumat tidak tepat yang disebarkan oleh @limkitsiang bahawa kita membelanjakan RM3 bilion hanya untuk perjanjian dengan Pfizer sahaja bagi 20% penduduk,” tulis Khairy di Twitter.
Terdahulu hari ini, Lim menggesa Khairy mendedahkan kos yang dibayar oleh Putrajaya untuk membeli vaksin Covid-19 dari Pfizer.
Badan pemikir The Galen Centre for Health & Social Policy pula berkata kritikan terhadap kerajaan hanya akan menghakis kepercayaan masyarakat umum dalam usaha untuk mendapatkan vaksin yang berkesan terhadap Covid-19.
“Walaupun banyak kekeliruan disebabkan oleh kerumitan pemerolehan farmaseutikal, sebahagian besar serangan tersebut berdasarkan pada maklumat yang salah, teori konspirasi dan maklumat tidak benar yang terus berlarutan berbanding fakta,” kata CEO Galen Centre Azrul Mohd Khalib. – 22 Disember, 2020.
Komen