KRITIKAN terhadap strategi pemerolehan vaksin Putrajaya hanya akan menghakis kepercayaan masyarakat umum dalam usaha untuk mendapatkan vaksin yang berkesan terhadap Covid-19, kata NGO kesihatan hari ini.
Menurut Galen Centre, kritikan itu termasuk dari ahli politik yang menyentuh mengenai tuduhan antaranya mengenai bayaran berlebihan akan mengelirukan masyarakat mengenai berapa banyak yang akan dibelanjakan untuk menyelamatkan nyawa.
“Walaupun banyak kekeliruan disebabkan oleh kerumitan pemerolehan farmaseutikal, sebahagian besar serangan tersebut berdasarkan pada maklumat yang salah, teori konspirasi dan maklumat tidak benar yang terus berlarutan berbanding fakta,” kata CEO Galen Centre Azrul Mohd Khalib.
Tambahnya, pengawasan memang perlu apabila melibatkan dana awam, namun perlu diingatkan bahawa beberapa perkara telah disalahtafsirkan secara sengaja atau tidak sengaja.
Ini perlu ditangani dengan fakta, katanya.
“Oportunis termasuk kumpulan anti-vaksin di Malaysia telah menjadikan isu vaksin dan mempolitikkannya, terutamanya mengenai pendedahan harga vaksin oleh Setiausaha Belanjawan Belgium, Eva De Bleeker,” katanya.
Menurutnya senarai harga vaksin yang dikongsikan mnteri Belgium itu adalah untuk Kesatuan Eropah sebagai sebuah blok, yang mempunyai 447 juta penduduk.
“Ia bukan harga untuk Belgium. Harga EU ini juga untuk satu dos. Sebagaimana yang dilaporkan, Belgium akan menerima lebih 33 juta dos untuk €279 juta (RM1.38 bilion) untuk 12 juta penduduk mereka.
“Jumlah dan status ekonomi negara memberi kesan terhadap harga. Harga EU juga tidak termasuk kos logistik vaksin untuk ke kawasan vaksinasi,” jelas Azrul.
Semalam, Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata Malaysia berhak untuk tahu berapa banyak yang dibelanjakan kerajaan untuk vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech selepas keliru dengan harganya.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata kerajaan khususnya Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin harus menjelaskan jumlah sebenar harga vaksin berkenaan.
Beliau menambah ia penting terutama selepas kerajaan Belgium mendedahkan harga vaksin tersebut sebenarnya 20 kali ganda lebih murah.
Lim turut mahukan penjelasan berhubung percanggahan kenyataan daripada perdana menteri dan Khairy mengenai harga vaksin itu.
Azrul bagaimanapun berkata kerajaan Malaysia sudah menyatakan bahawa sebanyak RM3 bilion diperuntukkan bagi pembelian vaksin Covid019 yang dijangka mampu menampung sekurang-kurangnya 70% penduduk di negara ini.
Tambahnya, Putrajaya tidak dijangka akan membayar RM3 bilion hanya untuk 10 juta vaksin.
“Berdasarkan maklumat umum, 12.8 juta dos (cukup untuk 6.4 juta orang) vaksin Pfizer-BioNTech akan diperoleh.
“Dan, 6.4 juta dos masing-masing dari inisiatif Covax dan vaksin AstraZeneca-Oxford, apabila digabungkan (12.8 juta dos) akan melindungi 20 peratus populasi.
“Dengan ketiga vaksin ini, sekitar 40 peratus penduduk Malaysia diharapkan dapat divaksin pada tahun 2021,” katanya. – 22 Disember, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen