Rundingan antara Malaysia Airlines dan pemiutang masih diteruskan, kata Khazanah


Ragananthini Vethasalam

Rundingan penstrukturan semula hutang antara MAB dengan pemberi pinjaman dan pemiutang masih diteruskan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2020.

RUNDINGAN penstrukturan semula hutang antara Malaysia Airlines Bhd (MAB) dengan pemberi pinjaman dan pemiutang masih diteruskan, kata pengarah urusan Khazanah Nasional Bhd Shahril Ridza Ridzuan.

“Perbincangan masih berlangsung dan diharap dapat diselesaikan dalam waktu dekat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Shahril bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai sama ada suntikan dana akan dibuat terhadap syarikat penerbangan itu.

Malaysia Airlines Bhd, dalam maklum balas menerusi emel berlainan kepada The Malaysian Insight berkata, rundingan itu memasuki peringkat akhir.

“Syarikat terus membuat kemajuan ke arah penstrukturan secara konsensual dan perbincangan telah memasuki tahap akhir dengan menyasarkan untuk mencapai kesepakatan komersial sebelum akhir tahun ini,” kata MAB.

Pada 10 Oktober lalu, Reuters melaporkan pelan penstrukturan MAB telah ditolak oleh kumpulan syarikat pemajak pesawat. 

Syarikat itu yang mewakili 70% daripada pesawat dan jentera yang dipajak kepada MAS berkata mereka akan mencabar pelan “tidak wajar dan penuh lompang” itu, menurut sumber dan surat daripada sebuah firma perundangan dilihat Reuters.

Syarikat penerbangan itu sebelum ini mengatakan bahawa ia melakukan pelan penstrukturan “mendesak” yang memerlukan perundingan dengan syarikat pemajak kerana melihat pandemik makin reda.

Syarikat itu berusaha untuk menyusun semula liabiliti dan komitmen bernilai RM16 bilion yang dibebani syarikat penerbangan nasional dan unit perniagaan lain di bawah syarikat induknya Malaysia Aviation Group Bhd (MAGB).

Khazanah adalah pemegang saham tunggal MAGB. – 17 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen