‘You resign now’


Izmil Amri

TUKANG cuci yang sedang mengajar anak gadis itu tidak banyak cakap. Mereka duduk berdepan menghadap papan catur. Dengan riak wajah seolah-olah dunia sudah mahu terbalik, waktu dibiar berlalu.

Usai beberapa pergerakan, si tukang cuci lantas menyuruh Beth, si anak yatim yang terpinga-pinga di depannya supaya mengalah. “You resign now,” kata Encik Shaibel. “Resign?” bentak Beth dengan mata membulat marah.

“That’s right, child. When you lose the queen that way, you resign,” jelas si tukang cuci.

Percaturan Beth awal tadi mengorbankan ratunya. Maka dia patut menyerah kalah. Pun begitu Beth enggan lalu membantah.

“Kau tak cakap pun itu peraturannya,” ujar Beth. Kalau Beth pandai cakap Melayu.

“Ini bukan peraturan,” jelas Encik Shaibel. “Ini semangat kesukanan.”

Demikian satu babak dalam siri terbaru yang sedang ditonton ramai di Netflix, hatta pakat mengaku pandai main catur belaka sekalian yang menonton dan gigih memesan set permainan itu untuk disusun-susun buahnya agar dapat dimuat naik ke media sosial.

Siri Queen’s Gambit berasaskan novel tulisan Walter Tevis, mengisahkan anak remaja meningkat usia di sebuah rumah anak yatim pada zaman lewat 50’an.

Watak Beth Harmon diperankan Anya Taylor-Joy dengan begitu bersahaja dan wajah yang begitu selenga. Seakan tiada perasaan.

Si Beth ini, serta anak-anak yang lainnya di rumah yatim itu diberi semacam ubat pelali, kononnya supaya senang tidur. Beth pula sebaliknya menemui kesaktian luar biasa pada malam hari. Dia bermain catur di siling bilik tidur, “melihat” buah catur itu bergerak-gerak.

Dalam permainan catur, Queen’s Gambit adalah satu langkah pembukaan. Dengan langkah ini, pemain putih kelihatan seolah-olah mengorbankan salah satu bidaknya. Padahal langkah tersebut dilakukan untuk mengundang kemudaratan kepada pihak hitam.

Langkah ini dikatakan popular sehingga kini kerana sifatnya yang garang menyerang. Ia disukai pemain yang suka memberi tekanan kepada pihak lawan. Pihak lawan itu pula perlulah pandai menguruskan penyerang yang bersemangat tadi dengan menyusun respons sesuai.

Menariknya, dalam Bahasa Indonesia terma Queen’s Gambit ini disebut sebagai ‘Gambit Menteri’. Entahlah mungkin di Indonesia, “Ratu” tidak berperang atau tidak ikut berpolitik. Saya kurang periksa. Tapi itulah dia.

Menteri perdana

Pada 26 November lalu, perdana menteri menunggu Anwar Ibrahim mengakui memberikan arahan kepada whip-whip parti komponen Pakatan Harapan supaya ahli Parlimen mereka tidak bangun menyokong undi belah bahagi perbahasan dasar Belanjawan 2021.

Wakil rakyat parti Muda yang bukan anggota gabungan Pakatan Harapan pun ikut sama tidak berdiri.

Yang berdiri adalah 13 ahli Parlimen dari Langkawi, Jerlun, Kubang Pasu, Sri Gading, Pokok Sena, Shah Alam, Sepang, Lumut, Kuala Selangor, Hulu Langat, Pasir Gudang, Mas Gading dan Selangau.

Tidak cukup dua lagi untuk membolehkan undian belah bahagi.

Undi di Parlimen ada dua. Yang pertama undi suara, di mana speaker akan berseru, “Yang setuju kata setuju” lalu disahut “Setuju!” kemudian diseru pula “Yang tidak setuju kata tidak” lalu disahut pula dengan cara yang sama. Speaker akan membuat keputusan berdasarkan suara mana yang lebih kuat pada ukuran telinganya. “Lebih suara yang setuju,” contohnya. Lalu usul diluluskan.

Cara mengundi yang satu lagi ialah dengan cara belah bahagi. Speaker akan mengarahkan setiausaha Dewan untuk membunyikan loceng selama dua minit supaya ahli Yang Berhormat dapat masuk ke dalam Dewan, dan undian mereka dicatatkan seorang demi seorang.

Pendekatan yang kedua ini pastinya lebih jitu dan tepat untuk mengukur respons ahli Yang Berhormat terhadap sebarang permasalahan yang dikemukakan kepada Dewan yang mulia.

Tambahan pula dalam keadaan Dewan Rakyat hari ini diketuai perdana menteri yang menikmati majoriti senipis kulit bawang. Bilangan sokongannya itu pasti boleh diuji dan boleh juga diranapkan, justeru membuktikan bahawa beliau sebenarnya tidak memiliki sokongan majoriti lantas tidak layak bergelar perdana menteri.

Pun begitu, pada 26 November lalu, cabaran itu tidak dibuat. Peluang yang ada dikorbankan atas alasan belanjawan itu perlu diperhalusi dan diperbahaskan di peringkat Jawatankuasa. Ia dikorbankan seperti bidak yang ditawarkan dalam gerakan Queen’s Gambit itulah kononnya.

Setidaknya begitulah penjelasan yang diberikan kepada netizen yang rata-rata mengeji tindakan melepaskan peluang terbabit. Tapi ya lah, netizen ni semua mana pandai main catur.

Cukup bilangan

Muhyiddin Yassin kini menjadi Ketua Kerajaan dengan kelebihan majoriti tiga kerusi, meski angka ini pun diragui. Dengan tiga kerusi itulah, kerajaannya berjaya meluluskan Belanjawan 2021, dan kekal mentadbir negara dari Presint 1.

Selepas tumbangnya Umno dan Barisan Nasional dua tahun lalu, tidak wujud lagi idea hegemoni parti tunggal. Presiden Umno merangkap pengerusi Barisan Nasional tidak lagi dilantik secara automatik menjadi Perdana Menteri. Jawatan itu tidak lagi ditentukan oleh gerombolan ketua-ketua bahagian Umno dalam persidangan yang sudah tidak lagi disiarkan secara langsung di kaca tivi.

Muhyiddin menjadi PM hasil pengkhianatan sesama kawan-kawan, dan fakta ini tidak boleh disangkal. Nasibnya baik, pengkhianatan itu memberi kelebihan kepadanya. Khalas.

Anwar Ibrahim, pada 23 September lalu, muncul pada satu sidang akhbar, dua hari sebelum pilihan raya negeri Sabah, mengisytiharkan telah memiliki sejumlah sokongan yang tidak diketahui tetapi lebih daripada mencukupi untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong agar beliau boleh dilantik menjadi PM, menggantikan Muhyiddin.

Dipendekkan cerita, peluang untuk membuktikan cukup bilangan tersebut muncul lebih 20 kali sepanjang dua bulan lalu, mengambil kira jumlah undian belah bahagi yang berlangsung sepanjang perbahasan Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa.

Gambit apa lagi yang ada, kita tidak pasti. Yalah, kita pun bukannya pandai main catur.

Namun apa yang pasti, rakyat Malaysia sudah malas menyaksikan permainan ini dibiar berlanjutan. Apatah lagi pemainnya sama sahaja orangnya tiada berganti.

Mungkin setelah setahun terbazir bermain permainan lama, oleh orang lama, ada baiknya kita simpan sahaja papan catur itu, dan main permainan baharu, oleh generasi yang baharu juga pastinya. – 16 Disember, 2020.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Setuju. DSAI sudah nampak lebih sesuai jadi No 2 shj seumur hidup. Orang kata kita nakkan sesuatu kita harus berusaha. Tapi kalau dah berpuluhan tahun berusaha tapi tak berjaya juga, mungkin itu satu petanda bahawa yang diinginkan itu bukan untuk kita. Maka tiba masanya kita tumpu usaha kepada perkara lain pula.

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Your Grandpa · Ulasan