Misteri hantu ketuk pintu dan hantu-hantu lain yang tular


Zainal Rashid Ahmad

Kisah hantu pocong kembali hangat diperkatakan dalam kalangan netizen. – Gambar Facebook, 12 Disember, 2020.

PADA 1974, meluas cerita mengenai seorang wanita “meraung dan menyalak” seperti anjing setiap kali mendengar azan Maghrib. 

Wanita ini dikatakan tidak boleh bercakap. Malah, hanya terbaring meniarap sambil menjulurkan tangan. Tubuhnya melunjur dan lidahnya terjulur seperti anjing sakit. 

Setiap kali menjelang senja, wanita “anjing” itu akan menyalak di ruang tamu rumahnya. Suaranya akan sayup-sayup terdengar keliling kampung sampai subuh. 

Ada satu versi popular mengenai punca kejadian aneh ini. Versi ini dibualkan jemaah solat Jumaat: “Wanita ini menyalak kerana dilaknat Allah sebab menghina azan.” 

Wanita anjing ini dikatakan menyindir suaminya yang suka pulang lewat kerana asyik bermain sepak raga bulat. 

“Sampai anjing menyalak di masjid pun tak reti nak balik rumah awal,” kata wanita itu. 

“Anjing menyalak” merujuk pada suara muazin di surau berdekatan. 

Kes wanita anjing ini dilaporkan berlaku di Kampung Suka Menanti, Alor Setar, Kedah. Saya tinggal di Pumpong ketika itu dan berjiran tidak jauh dari Suka Menanti. 

Jarak kampung saya ke Suka Menanti hanya dipisahkan Sungai Kedah. Orang seberang sini kena naik perahu penambang kalau mahu menjengok wanita “anjing” yang heboh dibualkan pada waktu itu. 

Cerita wanita menyalak ini tersebar hingga ke Pekan Rabu dan warung kopi sebelah Pawagam Empire di bandar Alor Setar. Malah, sampai ke pasar pagi di Mukim Tikam Batu, Sungai Petani. Orang ramai juga heboh bercakap kes wanita anjing ini di pasar hari di pekan Jitra, Kubang Pasu. 

Saya mendengarnya kerana pada usia itu juga, saya sering bekerja pada hujung minggu menjual buah di pasar pagi dan pasar malam sekitar Kedah. 

Pemburu wanita “anjing” kecewa 

Pada satu hari, selepas solat Jumaat di Masjid Alor Merah, sekumpulan jemaah terus berjalan kaki menuju ke jeti penambang untuk menyeberang ke Kampung Suka Menanti. Ketika itu jambatan belum ada. 

Setelah cerita menyalak ini heboh dibualkan di masjid, ramai jemaah nekad mahu mengunjungi dan melihat sendiri wanita “anjing” itu. 

Lepas Jumaat, jemaah berarak ramai-ramai dari Masjid Alor Merah yang jaraknya sekitar 1.5 kilometer menuju jeti penambang Suka Menanti. 

Dalam setengah jam, ramai orang berhimpun di jeti penambang. Tukang penambang terkejut. 

Penduduk Suka Menanti yang menanti perahu penambang juga terkejut. Tiba-tiba begitu ramai orang di penambang menanti giliran menaiki sampan ke seberang. 

Kenapa orang Suka Menanti terkejut? 

Penduduk kampung Suka Menanti sudah lama pening kepala. Sebab mereka tidak ada jawapan pada soalan: “Di mana rumah wanita anjing itu?” 

Sejak lebih sebulan orang kampung Suka Menanti ditanya mengenai: “Di mana rumah wanita anjing?” 

Seingat saya, setelah tiada siapa boleh mengesahkan di mana rumah wanita anjing itu, orang di penambang sangat kecewa. Selepas azan Asar barulah jemaah bersurai. 

Mereka hairan: bagaimana cerita wanita anjing boleh tersebar meluas, sedangkan penduduk Suka Menanti pun tidak tahu mengenai kejadian itu. 

Selepas dua atau tiga tahun kes wanita anjing tetap dibualkan. Walaupun, tidak ada seorang pun yang dapat mengesahkan: siapa orangnya dan di mana rumahnya. 

Dua ke tiga tahun juga, cerita wanita penyalak anjing ini tetap popular. Paling tidak buat mengertak anak-anak yang masih melilau bermain wau di bendang atau bermain bola di padang. 

Ramai kanak-kanak balik awal ke rumah kerana takut terkena sumpahan azan. 

Pada 1981 – di Kedah – tersebar berita kumpulan penyamun yang menaiki van putih dan akan memukau isi rumah sebelum merompak. 

Lebih menarik – sebelum menyamun – kumpulan perompak ini akan menelefon mangsa. Kononnya, ilmu hitam kumpulan pukau ini mensyaratkan mangsa mesti diberitahu sebelum disamun. 

Saya tinggal di Flat Mergong. Waktu itu masih bersekolah. Sebab usia 16 tahun sudah dianggap pemuda, maka kenalah berjaga malam demi keamanan. 

Setiap hari ada saja tuan rumah yang mengadu menerima panggilan telefon dan penyamun memberi makluman yang rumah mereka bakal dirompak. 

Hairannya, yang ada telefon zaman itu hanya sekitar 30 rumah daripada 360 pintu di seluruh enam blok Flat Mergong. 

Walaupun pada awal dekad 80-an telefon dimiliki keluarga berada, kami budak sekolah dan orang muda diminta berjaga sepanjang malam kerana saban hari ada saja panggilan ancaman. 

Apapun, berjaga malam ada baloinya. Sepanjang berjaga, kami dihidangkan segala macam makanan. Tuan rumah yang menerima panggilan ancaman, “wajib” menyediakan “upah” sajian. 

Semua yang menerima panggilan tekefon akan ketakutan. Jadi, banyak makanan disediakan supaya anak-anak muda sanggup berjaga malam mengawal keadaan. 

Pada masa sama, pelbagai cerita tersebar di seluruh Kedah. Hampir setiap hari ada saja kisah kejadian samun pukau dilakukan geng van putih di sana-sini. 

Hairannya tidak ada satu pun kes masuk akhbar. Kecuali tidak lama kemudian polis mengesahkan tiada kejadian samun pukau. Tiada geng van putih. 

“Polis saja nak tutup cerita sebenar,” kata orang ramai. 

Kami terus berjaga malam sambil bersembang sampai cerah. Makanan dan kopi berkati-kati. 

Sampai akhirnya, selepas sebulan dan cerita van putih geng samun pukau mula menyepi, kami tidak lagi berjaga malam. Sebabnya mudah: tiada lagi orang menyediakan hidangan waktu malam. 

Edisi hantu kum kum sampai ke hantu stoking

Versi hantu dekad 90-an ini lebih havoc. Seluruh Malaysia jadi gempak. Cerita seram dua jenis hantu ini cukup hebat. Sejarahnya kekal kerana turut difilemkan. 

Selama saya menjadi wartawan sepanjang 90-an, tidak pernah pun kisah dua jenis hantu ini disahkan mana-mana saksi. 

Selain wartawan, polis juga gagal menemukan saksi yang benar-benar diganggu atau dikunjungi hantu kum kum. 

Kecuali heboh berita, kononnya orang di sana dan di sini (sekitar Sungai Wei dan Shah Alam lokasi popular) diganggu hantu kum kum. 

Setiap kali wartawan pergi ke lokasi, atau ke balai polis untuk menyemak laporan, tiada satu pun mangsa pun hadir atau pernah membuat aduan. 

Malah, tiada satu kes pun kehadiran hantu kum kum dilaporkan ke balai polis. 

Apabila disiasat pada orang yang membawa cerita, jawapan tetap sama: “saya mendengarnya dari orang itu dan orang ini….” 

Namun, orang yang benar-benar didatangi hantu kum kum atau hantu stoking - tetap tidak diketahui. 

Dalam semua kes hantu popular, apa yang anehnya: kita tidak akan dapat jawapan yang tepat apabila kita mahu mengesahkah siapa mangsanya. 

Apa lagi mana satu tempatnya? Mana rumahnya? 

Tukang bawa cerita hanya akan menjawab: “Saya pun dengar orang cerita…” 

Mengenai gangguan hantu yang bertimpa-timpa dan berleluasa di seluruh negara ketika ini, ia mengulangi senario “hantu popular sejak dekad 70-an”. 

Bagi kes hantu ketuk pintu, pihak berkuasa juga turun menyiasat. Setakat ini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak polis. 

Cerita hantu ketuk pintu terus berleluasa. Asal dari Kuala Selangor kini merebak sampai Negeri Sembilan dan Johor. 

Tidak mustahil nantinya akan sampai ke Jakarta, Bangkok, Manila atau ke London dan New York. Media sosial mampu menviralkannya. 

Apa pun, dalam video interviu yang dimuat naik di media sosial, ketua kampung dan pemimpin masyarakat menafikan kisah-kisah edisi “nasi tambah”. 

Memang ada kes-kes ketukan pintu. Tetapi, pemimpin setempat menafikan kewujudan kes-kes jelmaan pocong dan jerangkung. 

Namun, penviral sensasi terus menyebarkan pelbagai video dan audio untuk “membuktikan” kewujudan hantu ketuk pintu. 

Alasan wujudnya ayat-ayat Al Quran mengenai kewujudan jin terus digunakan sebagai “hujah memaksa” masyarakat untuk percaya. 

Cara yang sama sejak dahulu kala. Era fitnah hantu kum kum dan hantu stoking juga menggunakan manipulasi yang sama. 

Sudah sampai masanya, kita menerima hakikat. Hantu demi hantu edisi viral ini mungkin sukar ditangkap. Tetapi tangkap dulu penviral kisah-kisah hantu popular ini. Jadikan mereka sebagai saksi penting. 

Kalau ceritanya penviral ini bunyinya merapu dan menipu dan sengaja mereka cerita dengan niat mengganggu ketenteraman awam; elok tangkap dan dakwa sahaja. 

Hantu viral lebih bahaya sebenarnya…. 

Saya teringat kisah hantu pocong di atas paip air di Seksyen 24 Shah Alam pada Ramadan 2006. 

Nasib saya baik sebab pernah terserampak hantu itu. Hantu bertelekung itu duduk bertinggung di atas batang paip besar sekitar 3.30 pagi. 

Hantu bertelekung itu melepak sendirian sekitar pukul 3.30 pagi dengan niat menakutkan orang yang lalu di tiga simpang jalan sekitar Seksyen 24. 

Anehnya, hantu itu menjerit: “Adoi.. adoi… jangan baling batu bang!” 

Itu antara hantu yang terjawab kesnya apabila satu daripada lima atau enam ketul batu hinggap di belakangnya. – 13 Disember, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen